
Anaknya, Shamsul Salim berkata ia sebagai memenuhi amanat yang pernah ditinggalkan seniman itu semasa hayatnya supaya lagu nyanyiannya tidak disiarkan sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas beliau meninggal dunia.
“Oleh itu kami berharap media tidak memainkan lagu Allahyarham sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari ini.
“(Namun) terpulang kepada budi bicara media untuk menyusun apa yang terbaik untuk arwah dan orang awam secara umum,” katanya kepada pemberita di kediamannya semalam.
Shamsul berkata perkara itu pernah dibincangkan bersama bapanya yang pernah berpesan supaya lagu beliau tidak dimainkan selepas pemergiannya.
Namun Shamsul berkata ia adalah perkara subjektif kerana kebanyakan hasil seni SM Salim berada dalam simpanan media.
SM Salim, 88, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada 5.45 petang hari ini kerana sakit tua.
Beliau yang nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, merupakan pendukung gigih lagu Melayu klasik.
Sementara itu, dalam ucapan takziahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata SM Salim akan dikenang kerana sumbangannya dalam menyuburkan dunia seni tanah air dan warisan dunia Melayu.
“Allahyarham banyak sumbang jasa dalam bidang seni dan warisan Melayu. Moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan di laman Twitter.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas solat Jumaat hari ini.