Teresa Kok sokong pengasingan jantina, bukan kepolisan moral

Teresa Kok sokong pengasingan jantina, bukan kepolisan moral

Kok turut mencadangkan ibu menyusu diberikan pilihan duduk dengan jantina sama kerana mereka mungkin tidak selesa menyusukan bayi di sebelah lelaki.

Teresa-Kok
PETALING JAYA: Wakil rakyat DAP, Teresa Kok hari ini mempertahankan pendiriannya menyokong pengasingan jantina dalam bas demi keselamatan penumpang wanita, tetapi bukannya kepolisan moral.

“Topik ini memerlukan lebih banyak perbincangan sebelum pelaksanaan. Saya sokong benarkan wanita menaiki bas jarak jauh dengan selesa.

“Tetapi, saya tidak sokong kepolisan moral oleh konduktor atau syarikat bas,” tulisnya dalam catatan terbaharu di Facebooknya hari ini.

Semalam, ahli Parlimen Seputeh melalui Facebooknya berkata: “Saya cenderung bersetuju dengan langkah sedemikian daripada syarikat bas. Apabila saya naik bas jarak jauh, saya sentiasa berharap dapat duduk dengan seorang wanita berbanding lelaki”.

Kenyataan itu dikritik pengguna Internet dengan ada yang berpendapat pengasingan jantina dalam bas adalah langkah tidak boleh diterima.

Catatan Kok itu sebagai mengulas laporan Malay Mail Online yang pengusaha bas ekspres TransMalaya Eskpres mengasingkan tempat duduk dalam bas berdasarkan jantina.

Bagaimanapun, Pegawai bahagian perkhidmatan tiket TransMalaya Ekspres hari ini menafikan pihaknya meminta pasangan Islam mempamerkan sijil nikah sebelum membeli tiket, sebaliknya mereka menghormati privasi penumpang dan hanya membuat pengasingan tempat duduk atas permintaan pelanggan bagi mengelakkan gangguan seksual.

Kok berkata, kenyataan itu dimuat naik ke Facebooknya tanpa penjelasan lanjut selepas membaca laporan berkenaan semalam kerana beliau sibuk ketika itu.

“Saya sibuk jadi saya tiada masa menulis beberapa perenggan lagi untuk menerangkannya. Tetapi, biarlah orang berbincang, lagipun topik ini layak dibincangkan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Naib pengerusi DAP itu berkata, pengasingan jantina dalam bas itu mempunyai alasan munasabah kerana wanita mungkin tidak selesa duduk bersebelahan lelaki dalam bas jarak jauh.

“Bas jarak jauh selalu bertolak pada tengah malam dan tiba awal pagi. Penumpang biasanya akan tidur dalam bas.

“Jika anda duduk dengan seorang lelaki baik, tak apalah. Tetapi kadangkala anda perlu berjaga sepanjang masa kerana tidak tahu apa akan berlaku jika tertidur.

“Jika syarikat bas bertimbang rasa dan memberi tempat duduk kepada wanita yang lebih suka duduk dengan jantina sama, maka ia adalah dasar baik.”

Kok turut mencadangkan ibu menyusu diberikan pilihan duduk dengan jantina sama kerana mereka mungkin tidak selesa menyusukan bayi di sebelah lelaki.

“Macam mana kalau bayi anda menangis kerana mahu minum susu ketika anda duduk di sebelah lelaki?Penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak selesa bagi seorang wanita berbuat demikian di depan lelaki,” katanya.

Siti Kasim selar syarikat bas asingkan kerusi lelaki, perempuan

Mufti Perak: Berdosa bukan muhrim duduk bersebelahan dalam bas

Pengusaha bas nafi minta surat nikah sebelum beli tiket

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.