Skandal air Sabah: Bekas pengarah, isteri dan penasihat didakwa

Skandal air Sabah: Bekas pengarah, isteri dan penasihat didakwa

Tiga tertuduh itu mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta dalam bentuk tunai dan simpanan bank, selain memiliki barangan mewah.

rasuah
KOTA KINABALU:
Seorang bekas pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Sabah bersama isterinya serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap 37 tuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah terhadap 8 tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam 4 akaun bank, 2 tuduhan memiliki secara salah 6 kenderaan mewah dan 1 tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama isterinya, Fauziah Piut, 51, terhadap 2 tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

rasuah-2

Penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Peng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi 1 tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan 3 tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Hakim Ummu Kalthum Abdul Samad membenarkan Ag Mohd Tahir, Fauziah dan Lim masing-masing diikat jamin RM10 juta, RM2 juta dan RM1 juta dengan 2 penjamin tempatan.

Mereka juga diperintah menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

rasuah-3

Terdahulu, peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili Ag Mohd Tahir dan Fauziah, serta peguam Chin Teck Ming yang mewakili Lim, membantah jumlah ikat jamin seperti diminta pihak pendakwa itu dengan alasan anak guam mereka belum dibuktikan bersalah.

Hairul juga memberitahu mahkamah anak guamnya mempunyai 3 anak, termasuk seorang yang sedang belajar di luar negara dan bergantung kepada ibu bapa mereka dari segi kewangan.

Ummu Kalthum menetapkan 28 Februari sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya daripada SPRM yang terdiri daripada Husmaruddin Hussin, Farez Rahman, Anas Mahathir, Rozanna Abd Hadi dan Rustam Sanip.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili panel 3 peguam dianggotai PJ Perira, Hairul Vaiyron dan Ariel C Dasan.

Ag Mohd Tahir ditangkap SPRM dalam Ops Water pada 4 Oktober lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 setelah direman 2 minggu, manakala Lim ditahan pada 13 Oktober lalu.

3 suspek rampasan tunai Sabah didakwa esok, kata sumber

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.