
“Kementerian Pengangkutan mewajibkan semua bas model baharu yang dibuat mulai Januari 2015 dipasang dengan SLD, sejajar dengan Peraturan 89 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan hari ini.
Dalam kemalangan pada kira-kira 3.30 pagi Sabtu itu, bas ekspres berkenaan menjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter dan merempuh tembok konkrit sebuah terowong di Kampung Jayor di kilometer 137.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), mengakibatkan 14 orang maut, termasuk pemandu dan anak perempuannya, serta mencederakan 16 penumpang lain.
Liow berkata kementerian, melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat, akan menjalankan audit menyeluruh mengenai keseluruhan rantaian reka bentuk dan pembinaan serta prosedur kelulusan dan pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam.
“Audit ini akan meliputi penyenggaraan jalan raya oleh agensi berkenaan. Audit baharu akan dilakukan dan disediakan laporannya pada suku pertama 2017,” katanya.
Liow bekata kementerian itu juga dalam proses menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia untuk melaksanakan fungsi penyiasatan secara bebas dan telus mengenai kejadian, menjalankan penyelidikan untuk mengemukakan syor bagi meningkatkan keselamatan dan memantau serta menilai inisiatif keselamatan semua kaedah pengangkutan.
“Saya mengarahkan kementerian saya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) supaya memantau pelaksanaan semua syor yang digariskan oleh panel penasihat,” katanya.
Beliau berkata agensi berkaitan di bawah bidang kuasa kementerian itu juga diarahkan supaya melaporkan tentang status dan kemajuan pelaksanaan syor berkenaan.
“Kementerian ini akan mengumumkan tentang status laporan mengenai pelaksanaannya melalui laman sesawang rasmi agensi berkaitan, dari semasa ke semasa,” katanya.
Panel penasihat ditubuhkan untuk menilai dan menyemak laporan mengenai siasatan selepas kejadian nahas bas Genting Highlands–Kuala Lumpur pada 2013 dan panel berkenaan mengemukakan laporannya berserta 51 syor kepada kementerian pada Januari 2014.
Daripada jumlah itu, 22 langkah yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dilaksanakan, termasuk kewajipan memasang SLD. Langkah selebihnya dilaksanakan 16 agensi dan pihak berkepentingan lain yang berkenaan, katanya.