Juara Mr Universe digantung hingga 2019 kerana steroid

Juara Mr Universe digantung hingga 2019 kerana steroid

Alasan untuk rayuan ke-2 yang merujuk kes doping angkat berat sebagai contoh tidak bersesuaian kerana sukan angkat berat dan bina badan berbeza.

sazali-samad-steroid
KUALA LUMPUR:
Jaguh bina badan negara, Sazali Samad terpaksa menunggu sehingga 2019 sebelum kembali semula ke pentas antarabangsa, selepas Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) menolak rayuan ke-2 yang difailkan atlet itu, hari ini.

Jawatankuasa Rayuan PBBM yang dipengerusikan Naib Presiden PBBM, Datuk Masood Zainal Abidin, sebulat suara menolak rayuan ke-2 difailkan juara Mr Universe 10 kali itu, selepas mendapati justifikasi yang dinyatakan Sazali dalam surat rayuannya tidak kukuh.

Keputusan itu menyaksikan Sazali akan meneruskan hukuman penggantunggannya sehingga September 2019.

Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir berkata, keputusan itu muktamad memandangkan Sazali menggunakan bahan terlarang jenis steroid.

“Alasan rayuan ke-2 iaitu merujuk kes doping angkat berat sebagai contoh tidak bersesuaian memandangkan sukan angkat berat dan bina badan berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

PBBM pada 31 Mac lalu menolak rayuan Sazali pada 9 Januari, selepas digantung 4 tahun oleh PBBM ekoran gagal dalam ujian doping kendalian Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015.

Sazali gagal dalam ujian doping apabila bahan terlarang jenis steroid yang terkandung dalam sampel air kencingnya dalam ujian sebelum menyertai satu pertandingan antarabangsa pada 1 September lalu.

Dalam pada itu, Sazali yang dihubungi Bernama bertegas akan membawa kes itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan atau saluran bersesuaian untuk menyelesaikan kesnya.

“Saya bersedia melantik 3 atau 4 peguam lain, termasuk peguam sedia ada, Mohd Norasmawi Norani untuk melawan keputusan hari ini.

“Tindakan selanjutnya akan dimaklumkan peguam saya kepada pihak media selepas mendapat surat rasmi PBBM,” kata Sazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.