UM4 fail tuntutan isytihar universiti langgar hak asasi pelajar

UM4 fail tuntutan isytihar universiti langgar hak asasi pelajar

Empat pelajar terbabit berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan undang-undang Universiti Malaya tidak boleh mengawal aktiviti mereka di luar universiti.

UM4-bahasa
KUALA LUMPUR: Empat pelajar Universiti Malaya (UM) yang didapati bersalah menyertai himpunan Tangkap MO1” (MO1) memfailkan tuntutan mencabar keperlembagaan perundangan subsidiari universiti.

Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Suhail Wan Azahar dan Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli memfailkan tindakan itu, memohon deklarasi yang Kaedah-kaedah UM (Tatatertib Pelajar) 1999 melanggar hak kebebasan bersuara mereka.

Mereka berkata peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan undang-undang UM tidak boleh mengawal aktiviti mereka di luar universiti.

Sehubungan itu, mereka berkata surat bertarikh 11 November yang dikeluarkan UM di hadapan tribunal, tidak mengikut undang-undang.

Sementara itu, peguam Marcus Tan Kian Han berkata jika deklarasi itu dibenarkan, perintah kepentingan ialah sabitan mereka oleh tribunal itu perlu diketepikan.

“Kami ke mahkamah untuk memohon deklarasi yang undang-undang UM melanggar hak asasi mereka. Jika diterima, semua 4 anak guam saya tidak boleh disabitkan bersalah,” katanya.

Saman asal difailkan bagi pihak mereka menerusi Tetuan Foo Woei & Co, turut menamakan menteri pendidikan tinggi dan kerajaan sebagai defendan.

Anis, Luqman Hakim dan Luqman digantung pengajian satu semester dan denda RM400 sementara Suhail hanya didenda RM400.

Semua 4 pelajar terbabit didapati bersalah oleh UM kerana kesalahan disiplin berkaitan dengan perhimpunan pada 27 Ogos di Kuala Lumpur.

Mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan universiti itu.

Bagaimanapun, Anis yang juga pelajar jurusan linguistik, dan 3 yang lain pelajar Pengajian Islami dibenarkan menduduki peperiksaan mereka.

Akibat penggantungan itu, Anis terpaksa menangguhkan untuk tamat pengajian kerana semester depan sepatunya menjadi semester terakhir untuknya.

Himpunan Tangkap MO1 dianjurkan gabungan kumpulan pelajar dan belia mendesak penahanan individu yang dinamakan hanya sebagai MO1 dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan dengan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Anis dan penganjur pelajar mengetuai sekumpulan besar, kebanyakannya golongan belia, berarak ke Dataran Merdeka pada Ogos lalu.

DoJ dalam tuntutan saman itu berkata AS$731 juta dipindahkan ke akaun pegawai kanan kerajaan, yang tidak dinamakan yang dinamakan sebagai “Malaysian Official 1”.

Anis kemudian pada sidang akhbar berkata mereka terpaksa membawa kes ke peringkat mahkamah kerana rayuan mereka pada pihak berkuasa universiti untuk menggugurkan dakwaan itu, gagal.

“Tribunal itu juga tidak memberikan kami perbicaraan adil dan tindakan kami mencabar keperlembagaan undang-undang itu penting untuk menunjukkan semangat undang-undang tertinggi negara ini perlu dihormati,” katanya.

Anis berkata tindakan undang-undang yang diambil menjadi isyarat kepada semua mahasiswa supaya mereka tidak diancam oleh pihak berkuasa.

“Pelajar perlu sedar AUKU memberikan kuasa kepada pihak berkuasa universiti untuk menghukum sesiapa yang mengkritik kerajaan,” katanya.

Tindakan mahkamah yang sama turut dibawa Asheeq Ali, yang didapati bersalah oleh tribunal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.