Pemandu degil, terus guna lorong kecemasan

Pemandu degil, terus guna lorong kecemasan

Pengguna jalan raya terus menggunakan lorong kecemasan kerana tidak percaya akan menerima tindakan undang-undang, kata pakar.

kereta-1
PETALING JAYA:
Penyalahgunaan lorong kecemasan oleh pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri mendapat perhatian sekali lagi, hanya beberapa bulan selepas 20 pengguna jalan raya dikenakan denda berat bagi kesalahan itu.

Pada Mei, 2 ambulans berhadapan kesulitan dan kelewatan mengambil mangsa kemalangan di KM222 Lebuhraya Utara-Selatan selama lebih sejam kerana tidak dapat melalui lorong kecemasan yang dipenuhi kenderaan awam. Dua penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu tidak berjaya diselamatkan.

Semalam, sebuah jentera bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulai turut mengalami kelewatan ke lokasi kemalangan di lebuh raya dari Kulai ke Sedenak di Johor, kerana kedegilan pemandu terus menggunakan lorong kecemasan.

Rakaman video bomba dihalang pengguna jalan raya kini menjadi viral di internet.

Muhd Zain Yunus, seorang pegawai dari Kulai Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12 tengah hari dan melibatkan 3 kereta.

“Kami mengalami kelewatan lebih 10 minit. Mujurlah, tiada kecederaan serius,” kata beliau sambil menambah masalah pemandu menyalahgunakan lorong kecemasan kerap berlaku semasa musim cuti.

Pemandu terus melakukan kesalahan itu kerana tidak berasa takut.
Mengulas mengenai hal ini, pakar keselamatan jalan raya Karen Goonting memberitahu FMT pemandu tidak bertanggungjawab terus menggunakan lorong kecemasan kerana mereka tidak percaya akan tertangkap atau peluang ditangkap adalah rendah.

Beliau berkata terdapat perdebatan berterusan sama ada kaedah penguatkuasaan secara terang-terangan atau sembunyi adalah lebih baik, tetapi percaya kedua-dua diperlukan.

“Apabila anda menjalankan penguatkuasaan terang-terangan dan orang melihat pegawai penguat kuasa atau kamera, mereka akan mematuhi peraturan jalan raya,” kata Goonting yang juga penasihat keselamatan jalan raya kebangsaan Asian Development Bank bagi Malaysia.

Beliau berkata, pihak berkuasa menggunakan kaedah bersembunyi untuk mewujudkan persepsi ada pihak sedang memerhati sepanjang masa, akibat kekurangan sumber.

“Untuk menghentikan penyalahgunaan lorong kecemasan, anda perlu aspek pendidikan dan penguatkuasaan. Ia perlu dilakukan seiring.”

Beliau berkata hanya kerana masyarakat terdidik atau menyedari akibat sesuatu tindakan, ia tidak bermakna mereka akan sentiasa mematuhi peraturan. Oleh itu, penguatkuasaan terpaksa efektif.

Ini katanya, ialah untuk memastikan orang ramai tidak berfikir mereka boleh terlepas dengan merasuah pegawai penguatkuasa dan pihak berkuasa akan mencari mereka tidak kira di mana mereka tinggal.

“Di Malaysia, ramai orang tidak mengemas kini alamat rumah mereka, jadi apabila saman dikeluarkan, mereka tidak takut pihak berkuasa mencari kerana tinggal di tempat lain,” katanya, sambil menambah ia juga mengambil masa yang lama untuk mahkamah mengetepikan kes dibawa kepada mereka.

https://www.facebook.com/BombaMalaysia.syed/videos/10154187249786762/

20 road users fined for using emergency lane

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.