Ibu kembar 3 maut 2 hari selepas nahas di Tampin

Ibu kembar 3 maut 2 hari selepas nahas di Tampin

Kematian Wan Suhana akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman dan kaki, menjadikan angka korban dalam nahas membabitkan 2 kereta itu meningkat kepada 5 orang.

kembar-3
TAMPIN:
Ibu kepada kembar 3 yang terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Desa Permai, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, kira-kira 1.40 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak berkata, Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, meninggal dunia selepas 2 hari dirawat di hospital itu.

“Wan Suhana mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman dan kaki, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ. Kematian mangsa menjadikan 5 maut dalam kemalangan yang berlaku pada 3 petang Sabtu lepas itu,” katanya hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu adik ipar Wan Suhana, Nursyuhaidah Jusoh, 23, masih menerima rawatan di HTJ, manakala seorang daripada 3 anak kembar mangsa, Muhammad Fahimi berusia setahun, sudah dibenarkan keluar wad.

Sabtu lalu, suami Wan Suhana, iaitu Mohd Fadzil Jusoh, 37, 2 anak kembar mereka iaitu Muhammad Farhan dan Nur Farhana serta ibu Mohd Fadzil, Nazipah Chik, 60, meninggal dunia pada hari kejadian.

Kemalangan itu berlaku apabila Proton Saga dinaiki 7 sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Johor bertembung dengan Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

4 sekeluarga termasuk 2 bayi kembar maut di Tampin

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.