
Katanya, penahanan itu sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk terus mempertahankan khazanah negara meskipun berdepan pelbagai tindakan.
“Saya akan terus bersuara, tangkapan ini sedikit pun tidak melemahkan perjuangan kita sebagai aktivis alam sekitar dan pada saya ini amanah Tuhan untuk kita jaga ciptaannya.
“Kami akan terus mengkritik mana-mana pihak yang cuba merosakkan alam sekitar, termasuk pihak kerajaan negeri dan syarikat terlibat. Kadang-kala kami tidak boleh sebut pihak terlibat secara terus kerana ia sensitif.
“Pihak yang menentang kami itu ialah mereka yang berkepentingan dan mahu duit semata-mata, sedangkan sepatutnya mereka bertanggungjawab menjaga khazanah alam.
“Tapi kalau semua takut nak bersuara maka bermaharajalelalah pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi FMT.
Pada Jumaat lalu, Shariffa bersama pegawainya, Norhayati Shahrom ditahan reman 3 hari kerana didakwa menghina Sultan Johor di Facebook.
Shariffa berkata beliau terkejut dengan penahanan itu dan mempertahankan kenyataannya bukan untuk menghina sesiapa.
“Saya terkejut, sampai saya kena tangkap, direman kerana bagi kami tindakan itu tidak bertanggungjawab dan kita aktivis alam sekitar bukan penyokong mana-mana parti.
“Kami bukan pengganas, kalau nak kata kenyataan saya itu menggugat keharmonian, pada saya ia tidak sepatutnya berlaku. Sebagai pihak yang cintakan hutan saya kena persoalkan kenapa hutan kita asyik digondol,” katanya.
Katanya, ketika dalam tahanan beliau bersama pegawainya dilayan baik dan mereka juga menghormati polis yang perlu menjalankan tugas.
Aktivis anti pembalakan ditahan polis selepas kiriman Facebook