
Wanita dengan pertuturan lembut dari Gombak Setia itu menyertai upacara himpunan di Gereja Katholik St Joseph di Sentul sejak 2003, tetapi hanya dapat membaca kitab Injil setahun kemudian di upacara itu pada Ahad, 2 kali sebulan.
Injil beliau dicetak khas dalam bentuk Braille oleh seorang sukarelawan gereja.
“Bagi mereka yang berpenglihatan biasa, Injil adalah dalam bentuk naskah buku, tetapi milik saya terdiri daripada bacaan Ahad, Krismas dan Easter di samping 12 buku disusun dalam 1 naskah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Josefa hanya buta ketika berusia 17 tahun akibat sejenis penyakit dan menjalani beberapa pembedahan hingga rawatan tahap akhir yang mengakibatkan beliau hilang penglihatan secara menyeluruh.
Dalam keadaan buta, beliau perlu kuatkan semangat kerana tidak boleh bergantung kepada ahli keluarga selama-lamanya.
Katanya, beliau mengikut nasihat doktor dan berhenti kerja dengan sebuah syarikat di Shah Alam kerana turut menghidap penyakit ‘systemic lupus erythematosus’ (SLE).
SLE ialah sejenis penyakit autoimun, di mana sistem imun tubuh menyerang tisu sihat dan ia boleh menjejaskan kulit, sendi, ginjal, otak dan organ lain.
Kini, Josefa menumpukan perhatian terhadap pembuatan kraf tangan di rumah dan menjualnya kepada bekas rakan sepejabat.
“Saya juga membuat kerja amal dengan anggota gereja kelainan upaya seperti saya menerusi program motivasi,” katanya.
Josefa yang tinggal bersama saudara perempuan dan iparnya, menasihatkan orang kelainan upaya supaya bersikap positif, yakin pada kebolehan diri dan tidak sekali-kali berputus asa.
Mengenai sambutan Krismas tahun ini, beliau meraikan secara sederhana memandangkan bapanya baru saja meninggal 3 bulan lalu.
Katanya, selepas menghadiri upacara di gereja awal hari ini, beliau akan menyambut ulang tahun kelahiran Jesus Christ dengan rakan dan keluarga di rumah.