
Polis pada awalnya mengesahkan dua kematian, namun jumlah korban meningkat kepada empat selepas dua lagi mayat ditemukan di bawah runtuhan gereja yang musnah terbakar.
Ketua Polis Grand Blanc Township, William Renye berkata dalam sidang media bahawa suspek, dikenal pasti sebagai Thomas Jacob Sanford, 40, bekas anggota Marin AS yang pernah berkhidmat di Iraq, bertindak memandu kereta dan merempuh masuk ke dalam gereja ketika upacara keagamaan berlangsung sebelum melepaskan tembakan.
Suspek turut bertindak membakar gereja berkenaan. Dia kemudian maut selepas berbalas tembakan dengan polis di lokasi kejadian.
Menurut Renye, siasatan lanjut akan dijalankan termasuk pemeriksaan di rumah serta rekod telefon suspek bagi mengenal pasti motif sebenar.
Mangsa yang cedera, termasuk kanak-kanak telah dihantar ke hospital berdekatan.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam catatan di media sosial, berkata beliau diberi taklimat berhubung insiden itu.
Trump menyifatkan kejadian itu sebagai ‘tampak satu lagi serangan yang menyasarkan penganut Kristian di AS’ dan menegaskan FBI sudah dikerah ke lokasi kejadian.