Rafizi guna angka lapuk, kata MRT Corp

Rafizi guna angka lapuk, kata MRT Corp

Jangkaan kos asal RM40 bilion untuk pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang tidak lagi relevan

mrt_600
PETALING JAYA:
Jangkaan kos asal RM40 bilion untuk pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang tidak lagi relevan.

Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan angka itu dinyatakan dalam cadangan yang dikonsepkan pada 2010, dan berdasarkan nilai harga pada 2009.

“Nilai RM40 bilion pada asalnya dikemukakan dalam satu cadangan sektor swasta untuk ketiga-tiga laluan projek MRT Lembah Klang (yang akan dibina secara serentak) kepada Kerajaan pada 2010…Bagaimanapun, kos tidak termasuk tren-tren elektrik dan sistem-sistem berkaitan dan juga pengambilan tanah,” tambahnya.

Selepas cadangan itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), kerajaan menjalankan kajian ke atas usul itu.

“Kajian yang dibuat pada 2010 menyebabkan model bagi projek MRT Lembah Klang berubah dengan ketara.”

MRT Corp menjawab Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa kos projek sepanjang 141km itu sudah melampaui peruntukan asal, dan mungkin melebihi RM100 bilion.

Rafizi turut mendakwa projek itu diswastakan. MRT Corp menafikan dan berkata projek itu dimiliki sepenuhnya dan dibiayai oleh kerajaan.

Syarikat itu menjelaskan semasa Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan proses perolehan diluluskan, MRT Corp mengumumkan pada Disember 2012 bahawa bajet bagi kos pembinaan fasa pertama projek MRT Lembah Klang itu adalah RM23 bilion.

“Begitu juga, MRT Corp mencapai anggaran kos pembinaan bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) sebanyak RM32 bilion berdasarkan tender-tender yang telah dianugerahkan bagi pembinaan laluan,” katanya.

Manakala bagi cadangan MRT Laluan 3, juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran, MRT Corp menyatakan kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan, dan keputusan dijangka diumumkan pada suku pertama tahun depan.

Oleh itu, adalah mustahil bagi MRT Corp untuk memberi kos anggaran bagi MRT Laluan 3.

“Sebarang nilai yang telah dilaporkan bagi MRT Laluan 3 adalah spekulasi semata-mata dan muncul dari sumber-sumber luar dan bukan dari MRT Corp.

“Oleh yang demikian, sebarang dakwaan bahawa nilai kos MRT Laluan 3 yang telah diumumkan oleh MRT Corp adalah salah sama sekali,” katanya.

MRT Corp kecewa Rafizi “cuba mempolitikkan” projek itu. Syarikat itu berkata dalam tempoh 1 minggu sejak pembukaan Laluan SBK, kira-kira 210,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu.

“Walaupun terdapat banyak fakta mengenai manfaat bagi projek MRT, Rafizi Ramli telah menyifatkan projek MRT Lembah Klang sebagai projek yang tidak baik.

“Bagaimanapun, beliau tidak memberi apa-apa penjelasan berkaitan mengapa sistem pengangkutan awam yang telah diperbaik adalah tidak baik untuk orang ramai,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.