
Teng Chang Yeow merujuk penguatkuasaan terpilih yang didakwa dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas sebuah kafe, susulan kelantangan pemilik premis itu mengkritik dasar kerajaan Pulau Pinang di surat khabar Cina, baru-baru ini.
Mengulas lanjut dakwaan “mafia” itu, Teng berjanji akan terus mengetengahkan kekejaman kerajaan Pulau Pinang mengenai cara mereka menangani pengkritik dan tidak akan tunduk kepada tekanan kerajaan negeri itu.
“Menyedihkan untuk kata kerajaan Pulau Pinang sudah menjadi sebuah kerajaan ala mafia. Anda kritik, anda dapat balasannya. Ini adalah serangan tidak adil.
“Kami berkuasa selama 40 tahun dan tidak akan duduk serta menangis…kami akan lawan balik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, hari ini.
Semalam, Gerakan Pulau Pinang mengaitkan perobohan sebuah tandas yang dibina secara haram dalam Kafe Kaffa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan kritikan pemilik premis itu terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
DAP bagaimanapun membalas dakwaan itu dengan berkata, notis sudah dikeluarkan kepada pemilik Kafe Kaffa sejak 25 Julai tahun lalu dan permintaan merobohkan tandas berkenaan dibuat 4 hari sebelum pemilik kafe mengkritik Lim.
Dalam perkembangan berkaitan, Teng berkata, Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebaliknya menuduh pemimpin Gerakan mengutuk PBT sengaja mengambil tindakan terhadap perniagaan milik peniaga Cina itu.
Chow yang mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri mendakwa Gerakan menjadikan perkara itu isu politik dan perkauman menerusi catatan di Facebook, Khamis lalu.
Sebaliknya, beliau mempertahankan PBT sekadar menguatkuasakan undang-undang dan tidak mempunyai motif tersembunyi.
Pemilik kafe terbabit mendakwa perobohan itu dilakukan sehari selepas seorang ahli majlis perbandaran DAP memberi “amaran” menerusi Facebook.
Majlis perbandaran itu bagaimanapun berkata, ia sekadar menjalankan tanggungjawabnya ke atas struktur haram.
Susulan itu, pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo semalam membuat laporan mendesak polis menyiasat jika wujud sebarang penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, sebelum tandas dalam kafe itu dirobohkan Rabu lalu, seorang ahli majlis perbandaran DAP menerusi Facebooknya mengeluarkan “amaran” tindakan akan diambil terhadap kafe terbabit yang membina tandas secara haram.
MCA turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung catatan dimuat naik ahli majlis perbandaran itu ke Facebooknya.