Lepas KWSP lupus pegangan, saham FGV susut 4.9%

Lepas KWSP lupus pegangan, saham FGV susut 4.9%

ada jam 12.30 tengah hari, saham FGV susut 8 sen kepada RM1.54 dengan 6.98 juta saham bertukar tangan.

epf-fgv
KUALA LUMPUR:
Harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) jatuh 4.94% ketika rehat tengah hari, hari ini berikutan pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ia tidak lagi mempunyai sebarang pegangan dalam syarikat tersebut.

Pada jam 12.30 tengah hari, saham FGV susut 8sen kepada RM1.54 dengan 6.98 juta saham bertukar tangan. Saham berkenaan bergerak di antara RM1.54 dan RM1.60 sepanjang sesi pagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, FGV berkata ia menghormati pandangan pemegang sahamnya dan menyedari mengenai hak mereka untuk membeli dan menjual saham mengikut keutamaan pelaburan mereka.

“FGV akan meneruskan fokus ke atas perniagaan teras kami, meningkatkan produktiviti aset sedia ada dan melupuskan aset bukan teras bagi menghasilkan pulangan kepada pemegang saham dan memenuhi tanggungjawab kami kepada pemegang saham,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad.

Pada Khamis, KWSP berkata ia tidak lagi memiliki sebarang kepentingan dalam FGV dan memberi jaminan kepada ahlinya yang ia mengamalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi dalam pelaburannya, dengan dasar mantap mengenai kawalan risiko serta peruntukan aset.

Sementara itu, pelabur berkata di sebalik keadaan itu, operasi perniagaan FGV dijangka stabil dengan disokong harga minyak sawit mentah lebih tinggi yang kini melepasi paras RM3,000 satu tan metrik.

“Sentimen negatif mungkin untuk sementara dan saya percaya harga saham syarikat tersebut akan stabil,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.