2 lelaki didenda akibat tumbuk muka kawan

2 lelaki didenda akibat tumbuk muka kawan

Mior Safrin Abdul Fuaad dan Muhammad Dali Rosli mengaku bersalah dengan menumbuk muka mangsa, Mohamad Zulhelmi Zulkifli.

tumbuk_law_600
PETALING JAYA:
Dua lelaki yang menumbuk muka seorang kenalan mereka masing-masing didenda RM1,200 atau penjara 2 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga, Mior Safrin Abdul Fuaad, 29, dan rakannya, Muhammad Dali Rosli, 27, selepas mereka mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad Zulhelmi Zulkifli, 29, dengan menumbuk muka mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 18, Jalan Intan 3/4, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini pada 2 pagi, 10 Disember lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan masyarakat awam kerana kejadian pukul kini semakin berleluasa.

Mior dan Muhammad Dali yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang minimum atas alasan mereka menjaga ibu bapa dan adik beradik yang masih kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.