Pembekal tunggal ‘tiada stok’, keluhan peniaga Mara Digital

Pembekal tunggal ‘tiada stok’, keluhan peniaga Mara Digital

Mereka berpendapat ketiadaan barangan akan memberi kesan kepada keyakinan pelanggan di sebalik catatan jualan yang tinggi.

mara-digital
KUALA LUMPUR:
Peniaga di Mara Digital Mall berkata masalah “ketiadaan stok” daripada syarikat yang diberi hak tunggal membekalkan barangan di pusat jualan keperluan IT Bumiputera itu boleh mendatangkan kesan terhadap keyakinan pelanggan.

Peniaga Mohamad Fadzly Rahmat berkata, masalah tersebut menyebabkan kebanyakan pelanggan datang ke kedainya merungut apabila barang yang dikehendaki tidak ada.

 Peniaga Mara Digital, Mohamad Fadzly Rahmat bimbang masalah kehabisan stok.
Peniaga Mara Digital, Mohamad Fadzly Rahmat bimbang masalah kehabisan stok.

“Kalau barang tak ada, pelanggan tak syok (nak membeli) sebab ini Mara Digital, pusat ICT, bukannya pasar malam,” katanya kepada FMT, sambil merungut pelanggan mengadu setiap kali alasan itu diberikan.

Sebelum ini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melantik WGN Scan Sdn Bhd (WGN) sebagai pembekal tunggal Mara Digital Mall, pusat perniagaan barangan IT yang ditubukan bagi memberi peluang kepada peniaga Bumiputera di sebalik persaingan di pusat lain.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata WGN sebagai pembekal tunggal mampu memastikan produk IT yang dijual adalah tulen.

Isnin lalu, Ismail berkata Mara Digital Mall mencatat jualan RM18.4 juta sehingga November lalu.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fuad Mohd Teriman mencadangkan agar pihak Mara Digital Mall menambah bilangan peniaga.

Mohd Fuad Mohd Teriman melayan pengunjung di kedainya di Mara Digital, Kuala Lumpur.
Mohd Fuad Mohd Teriman melayan pengunjung di kedainya di Mara Digital, Kuala Lumpur.

“Perlu tambah lagi tingkat untuk peniaga berniaga kerana buat masa ini ada satu tingkat sahaja dan tak cukup untuk pelanggan mendapatkan barangan.

“Untuk barangan seperti komputer atau komputer riba tidak ada masalah tetapi barangan alat ganti lain, susah bagi pengguna mendapatkannya,” katanya.

Pengunjung Abdul Mohammad Azli Mihat berpendapat perniagaan di Mara Digital Mall berjaya.

“Dulu kawasan ini lengang. Tak ada orang. Tapi dengan adanya Mara Digital Mall, ia dapat menarik orang ramai datang ke sini,” katanya.

Selain itu, Abdul turut mencadangkan agar promosi Mara Digital Mall itu diperbanyakkan agar lebih ramai orang mengunjunginya.

Mara Digital merupakan cadangan Ismail susulan pergaduhan di Plaza Low Yat pada Julai 2015.

Menurutnya, ia dapat memberi kelebihan kepada pelanggan dan memecahkan monopoli pihak tertentu dalam menentukan harga barangan IT.

PAUTAN: 

Tidak salah WGN jadi pembekal tunggal Mara Digital

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.