
“Saya rasa ini fitnah, tak ada prinsip dan tak ada fakta. Kes sudah dibicarakan di mahkamah, dan tak ada kaitan dengan ‘fixing’ sebab sudah dicabar di mahkamah,” kata Musa dalam satu sidang media hari ini.
Musa berkata kegagalan Raja Petra berbuat demikian akan mengundang tindakan saman.
Raja Petra dalam penulisannya minggu lepas bertajuk “How Mukhriz is going to become PM” mendakwa kes liwat membabitkan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan, yang berakhir pada tahun lalu, merupakan rancangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Raja Petra juga menyifatkan Musa dan Gani sebagai “anjing suruhan” Dr Mahathir.
“Anwar betul-betul diperdayakan. Dia terlalu bodoh dan layak masuk penjara — kalau bukan untuk kesalahan liwat, setidak-tidaknya untuk kebodohan. Mahathir kenakan (fixed) Anwar dalam Liwat I, dan sekali lagi Liwat 2,” tulis Raja Petra pada 16 Disember.
Anwar kini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah meliwat Saiful di sebuah unit kondominium di Bukit Damansara.
Musa berkata pegawai awam hanya menjalankan tugas melaksanakan dasar kerajaan.
“Ini perkara fitnah yang jahat… ingin jatuhkan maruah semua pegawai awam di negara ini,” kata Musa.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan peguam mengenai cara mengheret Raja Petra ke mahkamah, memandangkan penulis itu kini menetap di United Kingdom.
Sebelum ini pada Julai 2008, Anwar membuat laporan kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah mengadu peranan Musa dan Gani berhubung kes Liwat I pada 1998. Menurut Anwar, beliau percaya tuduhan ke atasnya direka cipta.
Musa hari ini turut menafikan Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam Liwat 2.
“Ia sudah pun disiasat dan mereka tidak menjumpai apa-apa dan oleh itu kes ditutup,” katanya.
“Menulis blog tidak bermakna kamu boleh menulis sesuatu yang tak benar. Kebebasan bersuara tidak bermakna kamu boleh berbohong.”