Lebih baik fokus isu rakyat, bukan soal kerusi, kata PKR

Lebih baik fokus isu rakyat, bukan soal kerusi, kata PKR

Pemimpin PKR dan Amanah berpendapat isu pembahagian kerusia terlalu awal dan memerlukan perbincangan lebih teratur.

Jimmy-Puah-L
PETALING JAYA: Sekarang bukan masa sesuai bagi pembangkang berbincang soal pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU), kata timbalan pengerusi PKR Johor.

Jimmy Puah berkata, soal pucuk pimpinan PKR bercadang memberi kerusi kepada sekutunya termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak perlu dijadikan topik utama sebaliknya isu rakyat dan manifesto ingin ditawarkan perlu diketengahkan.

“Bagi pihak PKR Johor, kami masih dalam persediaan dan perundingan. Kita tak kata nak bagi kerusi kepada sesiapa, saya rasa isu ini terlalu awal untuk dibincangkan.

“Lebih baik fokus bagaimana nak selesaikan isu rakyat, tawaran menerusi manifesto sebelum kita kata nak bagi kerusi pada sesiapa,” katanya kepada FMT.

Jimmy bekata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang parti itu tiada masalah menyerahkan kerusi ditandinginya kepada PPBM pada pilihan raya akan datang.

Katanya, pendirian sama dilakukan DAP dan PAS sewaktu PKR mula dibentuk dan kini giliran parti itu berbuat demikian.

“PPBM di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin ada kekuatan di selatan Semenanjung, mungkin di Johor dan Melaka tapi ini soal strategi kita tidak boleh bincang secara terbuka,” kata Azmin.

Mengulas lanjut, Jimmy berkata pihaknya mengambil maklum cadangan Azmin, bagaimanapun PKR Johor belum membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir ketika ditanya adakah parti itu akan menuntut PKR menyerahkan kerusi sebagaimana PPBM, pihaknya memilih untuk membuat rundingan secara teratur sebelum menyatakan pendirian.

“Kita akan bincang secara teratur soal pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan (PR). Saya rasa cadangan timbalan PKR itu satu kenyataan yang baik.

“Apa pun kita tunggu perbincangan dengan semua parti dalam PR dan PPBM. Kalau macam ini, orang itu minta, orang ini minta, pemberi pula buat kenyataan. Jadi, biarlah kita bincang bersama dahulu sekali gus memastikan pilihan raya nanti kita berjaya capai kemenangan,” katanya.

PAUTAN: 

Terlalu awal bincang pembahagian kerusi, kata PKR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.