
Penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata walau bagaimana teruk pun situasi itu terlihat di mata umum, gabungan yang terjalin sejak berdekad lamanya itu tidak akan putus.
Beliau berkata kritikan yang dilemparkan antara mereka hanya menjadi cara pelbagai parti itu menyelesaikan masalah.
“Perbalahan mengenai RUU PAS itu mungkin akan menggoyang BN, tetapi ia tidak akan memecahkannya.
“Ini kerana akhirnya, parti komponen BN akan lazimnya pasti menyokong satu sama lain.
“Keakraban mereka sudah banyak kali terbukti, terutama ketika krisis politik,” katanya kepada FMT.
Beliau juga yakin Umno tidak akan membiarkan gabungan itu pecah dan pastinya cuba memahamkan sekutunya mengapa ia menyokong RUU yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Azman berkata ia mungkin bermakna Umno akan mengadakan sesi pertemuan dan jelajah untuk menjelaskan kepada pihak berkenaan yang mendakwa tuntutan memperkasakan kuasa hukuman di mahkamah syariah itu akan membuka laluan kepada hudud, sebenarnya tidak berasas.
“Jika MCA, MIC, Gerakan dan PBB terus membantah RUU itu, Umno mungkin akan menghentikan rancangannya untuk mendesak ia diluluskan di Parlimen tahun depan.
“Tapi itu hanya akan berlaku jika berlaku bantahan besar,” katanya.
Kerajaan baru-baru ini mendedahkan rancangannya untuk mengambil alih RUU Hadi pada peringkat bacaan kedua di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.
Semakan semula terhadap RUU itu memohon peningkatan hukuman di mahkamah syariah sehingga 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Kuasa hukuman di mahkamah syariah pada masa ini terhad hingga 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Raden bersetuju dengan Azman.
Katanya, ini bukan kali pertama berlaku perbezaan pendapat dalam parti komponen BN.
“Lebih pun, perdana menteri sudah berjanji yang taklimat akan diberi kepada mereka (ahli Parlimen BN) mengenai pindaan itu, dan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk membincangkan RUU berkenaan.
“Kami bertengkar tetapi akhirnya, apa juga keputusan yang dibuat, kami buat bersama,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan.