
Beliau yang menjawat jawatan itu dari 2008 hingga 2013 berkata naib canselor perlu menimbangkan sama ada perhimpunan umum berkenaan berpotensi menjejaskan universiti dan negara, atau tidak.
“Tetapi apa yang dilihat memudaratkan kepada seseorang, ia mungkin tidak memudaratkan orang lain,” katanya kepada FMT.
Katanya, beliau melihat tidak ada salahnya jika pelajar menyertai perhimpunan umum.
“Saya fikir, asalkan ia bertujuan baik untuk masyarakat dan negara, ia ok. Tetapi ahli politik mungkin tidak begitu senang hati,” katanya.
Beliau berkata pelajar di United Kingdom sering mengadakan protes tanpa menerima hukuman daripada pengurusan universiti mereka.
Ghauth berkata demikian ketika mengulas penggantungan beberapa pelajar UM kerana terbabit dalam himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 (MO1).
Pindaan yang dibuat terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 2012 membuang klausa yang menyekat pelajar daripada terbabit dalam politik di dalam dan luar kampus.
Bekas timbalan menteri pendidikan tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang mendesak pindaan itu dibuat.
Saifuddin, yang kini ketua setiausaha Pakatan Harapan dalam komennya terhadap penggantungan pelajar terbabit berkata: “Saya tidak faham kenapa ada naib canselor mahu menghalang pelajar menyertai himpunan.”
“Jika pelajar dibenarkan mengundi dalam pilihan raya umum, protes ini tidak ada apa-apa. Kita ada Akta Perhimpunan Aman untuk menyelia himpunan secara aman.
“Lebih pun, naib canselor sepatutnya fokus kepada tugas lain dan biarkan isu ini kepada timbalan naib canselor yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajar.
“Saya tak kata timbalan naib canselor patut halang pelajar. Apa yang saya kata ialah sesetengah naib canselor tidak tahu tugas utama mereka,” katanya.
Aktivis pelajar Adam Adli berkata tindakan terhadap pelajar UM itu menunjukkan pindaan akta pada 2012 itu tidak memberi makna.