Bersih, Suaram mahu Suhakam siasat penahanan tanpa bicara

Bersih, Suaram mahu Suhakam siasat penahanan tanpa bicara

Dua NGO itu turut menggesa pemansuhan Sosma dan mahu Suhakam menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia atas penahanan tanpa perbicaraan.

suaram_bersih
KUALA LUMPUR:
Bersih 2.0 dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan penahanan tanpa perbicaraan.

Permintaan itu terkandung dalam satu memorandum yang diserahkan 2 badan bukan kerajaan (NGO) itu kepada Suhakam.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mendakwa prosedur operasi standard (SOP) penahanan dan layanan terhadap tahanan menyaksikan pelbagai penyeksaan oleh pihak berkuasa.

“Kebanyakan mereka (tahanan) mengadu bukan sahaja penderaan mental, tetapi juga fizikal. Semua ini dimuatkan dalam laporan tahunan Suhakam tahun lalu.

“Ini sebabnya kami mahu inkuiri dimulakan Suhakam ke atas semua kes ini. Mereka yang ditahan mendapat layanan buruk tanpa akses kepada keadilan, peguam dan perbicaraan untuk mereka,” katanya di pejabat Suhakam di Menara Tabung Haji.

Maria ditahan selama 10 hari sejak 18 November lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, di mana beliau diletakkan dalam kurungan berasingan di sebuah lokasi tidak diketahui.

Beliau berkata, penahanan tanpa perbicaraan seperti Sosma, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA), sering dijadikan jalan keluar mudah bagi pihak berkuasa.

“Sekarang, polis dan kerajaan mengambil jalan pintas dengan menahan anda terlebih dahulu dan siasat kemudian. Selepas itu, anda berakhir di penjara untuk tempoh lama dan siasatan seperti ‘jam karet’. Tiada keadilan langsung.

“Walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, mereka kembalikan penahanan tanpa bicara melalui 3 akta berbeza. Ini tidak boleh berlaku,” katanya yang mahu 3 akta itu dimansuhkan kerana negara mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani keganasan dan jenayah.

“Kita sudah ada undang-undang mencukupi dalam Kanun Keseksaan dan Tatacara Jenayah untuk menangani keganasan, jadi kami mahu undang-undang ini dimansuhkan.”

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy bimbang dengan pelaksanaan meluas penahanan tanpa perbicaraan oleh pihak berkuasa.

“Kami mahu campur tangan segera Suhakam untuk mencabar pencabulan hak asasi manusia berterusan berpunca daripada undang-undang.

“Penahanan tanpa perbicaraan memberi terlalu banyak ruang untuk pelanggaran hak asasi manusia.”

Antara tuntutan yang disenaraikan dalam memorandum itu ialah mendedahkan hasil siasatan, tindakan dan syor Suhakam terhadap aduan awam, selain menyiasat serta menjalankan perbicaraan terbuka terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa.

Maria Chin dilarang pakai coli, seluar dalam ketika ditahan

10 hari dalam kurungan tiada tingkap, Maria Chin tak tau siang malam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.