
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata gangguan bekalan air di kawasan Petaling Jaya, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur itu dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini (23 Disember).
Bagi memastikan gangguan bekalan air pulih seperti dijadualkan, para pengguna dinasihatkan tidak menyimpan air secara panik atau melebihi keperluan biasa, katanya.
“Jangan pula apabila kebiasaan penggunaan air sesebuah rumah ialah 1 meter padu air tapi apabila berlaku gangguan bekalan mereka menyimpan 3 meter padu air.
“Ini ‘panic storing’ (simpanan panik). Air sebenarnya ada (semasa gangguan) tetapi amat terhad,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini berhubung gangguan bekalan air.
Lebih 3.8 juta pengguna di 814 kawasan di Lembah Klang mula menghadapi gangguan bekalan air hari ini susulan kerja senggaraan pencegahan dan pemasangan sistem perlindungan arka di PMU di Kuala Selangor.
Zaini berkata apabila “panic storing” berlaku bekalan air dalam saluran paip dan loji akan habis dan masa yang lebih panjang diperlukan oleh pengguna untuk mendapatkan bekalan air di rumah masing-masing selepas bekalan pulih.
Beliau berkata kebiasaannya apabila “henti tugas” loji rawatan air utama dilakukan, kawasan yang terletak di hujung sistem bekalan air dan kawasan tinggi akan mengalami gangguan bekalan air yang lebih lama.
“Ini kerana jumlah air secukupnya diperlukan supaya sistem agihan dapat berfungsi seperti sedia kala dalam keadaan rizab margin yang rendah iaitu 2% hingga 3% sahaja,” katanya.
Zaini berkata Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menyediakan 64 buah lori tangki air untuk dibekalkan kepada pengguna yang terjejas, khususnya bagi keperluan majlis keramaian dan kecemasan.
Ditanya mengenai keputusan tidak menangguhkan kerja senggaraan TNB ke tarikh lain, beliau berkata tarikh 19 Disember dipilih setelah mengambil kira beberapa faktor antaranya kerana kerja henti tugas Loji Rawatan Air Langat pada 6 Disember lepas serta peperiksaan utama persekolahan sudah tamat.
Satu lagi faktor ialah penggunaan air per kapita pada hujung tahun yang lebih rendah berbanding bulan-bulan lain, jelas beliau.
“Berasaskan kepada data pemantauan rapi oleh TNB ke atas sistem PMU di Bukit Badong, KeTTHA memutuskan bahawa kerja-kerja senggaraan pencegahan TNB perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik tidak berjadual yang lebih serius,” katanya.