
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kajian semula dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara itu perlu bagi menyediakan perundangan dan hukuman bersifat futuristik iaitu rasional bagi tempoh panjang untuk setiap kesalahan dilakukan.
“Saya mengarahkan penasihat undang-undang KDN bersama-sama dengan Unit Penderafan di Jabatan Peguam Negara melihat semua perundangan sedia ada bukan sahaja melibatkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) tetapi perundangan membabitkan bidang tugas KDN supaya dikaji semula.
“Ini kerana ia bukan sahaja soal hukuman tetapi aspek yang tidak terkandung dalam perundangan sedia ada dan harus dilakukan berbentuk futuristik bagi enakmen, mesti disesuaikan dalam tempoh 30 atau 50 tahun akan datang,” katanya.
Zahid yang juga menteri dalam negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan Untuk Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini.
Zahid diminta mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menyatakan hukuman mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) perlu dikaji semula.
Apandi merujuk kes seorang wanita didenda RM100 Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana menulis perkataan ‘babi’ dalam saman trafik.
Katanya hukuman yang dijatuhi terhadap wanita itu adalah hukuman maksimum yang dibenarkan mengikut peruntukan Akta 336.
Terdahulu, dalam ucapannya Zahid berkata kerja-kerja membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak khusus untuk anak anggota polis akan bermula Januari depan.
Katanya konsep ulul albab dalam pendidikan akan diterapkan dalam MRSM itu.
“Saya mahu masyarakat mengubah pandangan mereka yang menyatakan anak polis tidak ada disiplin dari segi pendidikan, bermutu rendah dan tidak cemerlang dalam pendidikan.
“Beri peluang bagi membuktikan anak polis boleh cemerlang dalam bidang akademik dan agama. Ini komitmen saya. Bukan untuk pegawai dan anggota polis Teluk Intan sahaja tetapi di seluruh negara,” katanya.
Tulis ‘babi’ atas saman: Peguam negara saran kaji hukuman lebih sesuai