Pulau Pinang kompromi untung rugi kesan projek tambakan

Pulau Pinang kompromi untung rugi kesan projek tambakan

Pulau Pinang menjangkakan keuntungan ekonomi daripada penambakan pantai walaupun menyedari ia turut menjejaskan kualiti alam sekitar di kawasan itu.

Hundreds listening to Prof Sharifah Mastura Syed Abdullah (seated left on stage) explain the impact of the Penang South Reclamation project.
Hundreds listening to Prof Sharifah Mastura Syed Abdullah (seated left on stage) explain the impact of the Penang South Reclamation project.
GEORGE TOWN:
Sesetengah terumbu karang di Pulau Rimau, lokasi pendaratan penyu dan kawasan menangkap ikan di luar pantai selatan Pulau Pinang akan hilang jika projek tebus guna tanah (PSR) dicadangkan mendapat kelulusan.

Kehilangan itu sanggup diterima kerajaan sebagai pertukaran bagi projek penambakan mega untuk membina 3 pulau buatan manusia di luar pantai Permatang Damar Laut, Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar.

Keseimbangan dibenarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar apabila manfaat ekonomi melebihi keperluan semula jadi disediakan kawasan itu, kata Profesor Sharifah Mastura Syed Abdullah, yang mengetuai panel Perunding Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) negeri.

Bercakap pada dialog mengenai penambakan dan pengorekan kerja bagi projek PSR hari ini di Teluk Kumbar, beliau berkata kerajaan negeri yakin ia akan membawa lebih manfaat kepada rakyat.

“Oleh itu, sebahagian dataran lumpur, kawasan pendaratan penyu dan kawasan penangkapan akan hilang,” katanya ketika membentangkan laporan EIA kepada hampir seribu orang, termasuk nelayan, di sebuah hotel di Teluk Kumbar hari ini.

Dalam laporan penilaian itu, kehilangan terumbu karang dan dataran lumpur akibat penambakan dan pengorekan berpotensi akan memberi kesan kepada nelayan dan juga habitat hidupan laut.

Laporan itu menganggarkan kehilangan terumbu karang lebih RM9,500 secara purata. Terumbu karang mempunyai kegunaan dari segi makanan, perubatan, estetik dan bahan binaan. Di samping itu ia juga mampu mengelakkan hakisan, dan membantu kawalan cuaca serta perlindungan ribut untuk kehidupan laut.

Kehilangan dataran lumpur akibat penambakan dinilai RM12.5 juta setahun, dan di antara RM1.1 juta hingga RM2.3 juta disebabkan pengorekan.

Sharifah berkata, tapak pendaratan penyu di Gertak Sanggul, Pantai Pasir Belanda, Teluk Kumbar, Pantai Medan dan Teluk Tempoyak bukanlah lokasi utama.

“Daripada semua lokasi pendaratan di Pulau Pinang, ia tidak membentuk walau 1%. Kita boleh andaikan penyu tidak mendarat di bahagian selatan Pulau Pinang tetapi ke utara,” katanya.

Menyentuh mengenai isu tempat menangkap ikan, beliau berkata nelayan masih mempunyai akses ke laut tetapi perlu pergi lebih jauh.

Beliau mencadangkan kajian mengenai bentuk tukun tiruan dan lokasi terbaik meletakkannya dalam usaha membiak ikan supaya kehidupan masyarakat nelayan dapat dipelihara.

Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada kelulusan Jabatan Alam Sekitar, kata Sharifah.

Kawasan di mana terdapat “kesan terkawal” adalah tempat penetasan, kualiti air di muara, masyarakat nelayan, industri perikanan, pantai, tanah dan laluan marin.

EIA juga menyatakan terdapat kesan “tidak penting” ke atas akuakultur, hutan bakau, kawasan hutan dan tempat pendaratan ikan, beberapa struktur sejarah, kampung dan platform rekreasi memancing.

Projek PSR akan memberikan Pulau Pinang keuntungan ekonomi yang besar – RM40 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Projek ini dijangka turut menyumbang 20% lagi KDNK Pulau Pinang setiap tahun hasil pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan daripada 2050.

“Kesan (projek itu) terhadap kehidupan adalah perubahan dalam landskap 3 pulau buatan manusia,” kata Sharifah pada permulaan pembentangan panjang EIA dalam tempoh 4 jam dialog.

Sharifah juga berkata laporan EIA tidak lama lagi akan dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan dan maklum balas daripada kumpulan yang terjejas sedang disusun. Laporan itu sedia untuk tatapan umum dalam masa sebulan.

“Kami mempunyai draf dalam 3 jilid sekarang, tetapi kami belum masukkan apa yang rakyat katakan. Dalam tempoh 2 minggu akan datang kita akan masukkan soalan yang dibangkitkan rakyat, dan jawapan yang diberikan dalam jilid berasingan, “katanya.

EIA juga akan disiarkan selama 3 minggu dalam 2 akhbar utama.

1,000 nelayan bakal terancam akibat projek tambak laut di Pulau Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.