Wanita nafi dakwaan dera pembantu rumah

Wanita nafi dakwaan dera pembantu rumah

Seorang wanita disiasat polis selepas pembantu rumahnya yang melarikan diri mendakwa menjadi mangsa dera.

Polis-maid
KUALA LUMPUR: Seorang ibu beranak 4 meminta polis menjelaskan “layanan utama” yang diberikan kepada pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri dan mendakwa didera wanita tersebut.

Dia yang hanya mahu dinamakan sebagai Khoo mahu polis bertindak terhadap pembantu tersebut yang melarikan diri pada 2014.

“Pembantu itu diambil bekerja pada Oktober 2012 dan kontraknya sepatutnya luput pada 2014.

“Tetapi, dia melarikan diri sebelum tempohnya tamat,” katanya kepada pemberita di pejabat ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini.

Khoo, yang menetap di Klang berkata, dia dan suami membuat 2 laporan polis tentang kehilangan pembantu rumah mereka pada 2014 dan 2015.

“Kami juga pergi ke pejabat imigresen dan membatalkan permitnya pada 2014,” katanya.

Bagaimanapun, Khoo terkejut apabila dia yang disiasat polis.

“Menurut polis, pembantu rumah itu membuat laporan polis terhadap saya dan mendakwa saya menderanya.

“Walaupun saya sudah beritahu yang kami pernah membuat 2 laporan polis terhadap orang gaji itu, saya dibawa ke IPD Klang untuk siasatan lanjut,” katannya.

Khoo kemudian mendakwa dia dibawa ke mahkamah Klang dan direman selama 2 hari.

“Suami saya berjaya dapatkan seorang peguam dan saya dibebaskan,” katanya.

Khoo ketika disoal polis diberitahu pembantu rumah tersebut ditemui pada Julai di tepi jalan berhampiran Klang oleh seorang yang sedang melalui kawasan itu.

“Polis kata dia dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

“Di hospital, pembantu rumah itu membuat laporan polis mendakwa saya menderanya,” katanya.

Khoo hilang pekerjaan sejak kejadian itu dan terpaksa bergantung kepada pendapatan suami untuk menampung anak mereka.

“Saya mahu penjelasan mengapa saya ditangkap, dibawa ke mahkamah dan direman selama 2 hari.

“Mengapa tiada tindakan diambil terhadap pembantu rumah itu walaupun kami sudah membuat 2 laporan polis?

“Saya juga sudah membatalkan permitnya dan pembantu rumah itu kini seorang pendatang haram,” katanya.

Khoo berkata pembantu rumah itu turut membuat aduan ke jabatan buruh menuntut tunggakan gaji sebanyak RM30,000.

“Dia melarikan diri 2 tahun lalu tetapi menuntut gaji sehingga Mei tahun ini.

“Saya sudah menghubungi jabatan buruh tetapi mereka tidak mahu dengar penjelasan kami, sebaliknya meminta kami membuat pembelaan secara bertulis pada 19 Januari 2017,” katanya.

Khoo terpaksa mengambil mengambil seorang peguam kerana tiada pilihan lain.

Sementara itu, Lip Eng akan menghubungi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk menetapkan suatu mesyuarat bersama semua pihak terlibat.

“Bagaimana undang-undang kita boleh dimanipulasikan pembantu rumah itu?

“Pembantu rumah itu membuat laporan polis palsu dan itu satu kesalahan.

“Saya akan mendapatkan satu pendengaran di suruhanjaya untuk Khoo, polis dan semua pihak terlibat,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.