
Beliau berkata hari ini, pihak bertanggungjawab menggotorkan sungai di negeri ini perlu membayar sekurang-kurangnya 10 kali lebih daripada denda semasa iaitu RM500 kerana membuang sampah.
“Kerajaan negeri membelanjakan RM5.9 juta untuk membersihkan sungai. Orang yang membuang sampah ke dalam sungai di Pulau Pinang perlu membayar sekurang-kurangnya 10 kali ganda daripada denda yang dikenakan sekarang.
“Kami akan mengkaji sama ada kami boleh menaikkan denda untuk menghukum mereka yang menganggap sungai sebagai tempat membuang sampah,” katanya pada majlis perasmian projek tebatan banjir di Jalan Transfer dan Jalan Hutton di sini.
Projek menaik taraf sistem saliran untuk mengelakkan banjir kilat itu menelan belanja hampir RM5.87 juta, siap bulan lepas.
Lim berkata penambahbaikan yang terlibat dalam projek itu adalah pemasangan pembetung besar berukuran 4.8m dan 6m, laluan pejalan kaki, kerja pembaikan jalan dan penempatan semula kemudahan utiliti.
Memandangkan jumlah wang yang dibelanjakan adalah besar, Lim berkata denda kerana membuang sampah ke dalam sungai dan parit – perbuatan yang menyumbang kepada banjir kilat – harus lebih tinggi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Patahiyah Ismail berkata cadangan ketua menteri untuk meningkatkan denda itu akan dikaji.
“Kami akan berunding dengan penasihat undang-undang, sama ada ia boleh dilakukan oleh kerajaan tempatan,” katanya.
Tahun ini, kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan RM59 juta untuk projek tebatan banjir di seluruh negeri.
Bagi tahun depan, kerajaan, majlis tempatan dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang membelanjakan RM220 juta untuk projek tebatan banjir.
JPS: Sistem parit tidak sistematik punca banjir kilat di Pulau Pinang