
Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, ia jelas adalah langkah taktikal PH kerana mereka tidak mahu meninggalkan PAS.
“Pakatan pilihan raya itu dibentuk dengan PPBM supaya ia tidak menjadi tidak selesa bagi PAS, jika ia akhirnya memutuskan untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan PPBM,” katanya kepada FMT.
Azman mengulas pembentukan pakatan pilihan raya antara PPBM dan PH semalam bagi memastikan pertandingan satu-lawan-satu dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Walaupun sudah menandatangani memorandum persefahaman pakatan pilihan raya semalam, PPBM sehingga kini belum menyertai PH secara rasmi.
Azman berkata, ini adalah strategi terbaik untuk PH setakat ini “kerana PPBM dijangka menjadi jambatan penghubung antara pembangkang dan PAS”.
“Jika ada kerjasama dan perjanjian dengan PAS kelak, tidak mustahil untuk PAS membentuk pakatan pilihan raya dan menjadi rakan tidak rasmi Pakatan.”
Seorang lagi penganalisis politik, Khoo Kay Peng berkata, walaupun PPBM dan PH sudah membentuk pakatan pilihan raya, konflik mungkin timbul pada masa depan.
“Rundingan pembahagian kerusi akan menjadi sukar seperti biasa untuk pembangkang. Banyak tawar-menawar dijangka berlaku.”
Katanya, pembentukan kerajaan akan menjadi lebih sukar kali ini kerana PH “bukan perikatan betul yang sedia memerintah”.
“Umno akan mendapat manfaat daripada hakikat PAS tiada dalam pakatan itu,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Sivamurugan Pandian berkata, jika PAS tidak menyertai pakatan pembangkang, sukar untuk memastikan pertandingan satu-lawan-satu dengan BN pada PRU.
“Dalang politik ialah PAS buat masa ini.
“PPBM mungkin perlu putuskan kemudian sama ada ia mahu bekerjasama dengan Pakatan atau PAS, memandangkan perjanjian itu sekadar pakatan pilihan raya.”
Sivamurugan berkata, langkah sama dilakukan pembangkang pada PRU 1990 apabila parti serpihan Umno yang sudah dibubarkan, Semangat 46 membentuk pakatan berasingan dengan parti politik Islam dan bukan Islam.
“Pakatan berasingan akan mencerminkan kelemahan parti pembangkang dalam mencapai kata sepakat.”
PAUTAN:
Pakatan pembangkang: Orang sama, baju baharu, kata Nur Jazlan