Lebih 2,000 sekolah lama alami masalah pendawaian

Lebih 2,000 sekolah lama alami masalah pendawaian

Senator Datuk Chong Sin Woon berkata kebanyakan kebakaran di sekolah tidak bermula dari makmal, tetapi ia akibat litar pintas.

Chong-sin-woon
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 2,046 sekolah di seluruh negara dikenal pasti mengalami masalah pendawaian elektrik yang merupakan antara punca berlakunya kebakaran di beberapa sekolah baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Chong Sin Woon berkata ia membabitkan sekolah yang uzur iaitu berusia melebihi 20 tahun.

“Kebanyakan kebakaran yang berlaku tidak bermula dari makmal atau kekurangan daripada aspek keselamatan seperti ketiadaan pintu rintangan api, tetapi ia kebanyakannya akibat litar pintas.

“Oleh itu fokus kementerian adalah kepada penyelenggaraan semula pendawaian elektrik di sekolah lama, terutamanya pada bangunan yang sudah lama,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Chong menjawab soalan Senator Datuk Lihan Jok mengenai punca utama menyebabkan beberapa sekolah di Sarawak terbakar dan apakah langkah kerajaan bagi menangani masalah itu.

Beliau berkata program pendawaian elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun depan mengikut keutamaan bagi sekolah yang kritikal.

Selain itu katanya, bagi mencegah kemalangan dan kebakaran, semua sekolah akan dibekalkan dengan alat pemadam api di samping warga sekolah diberikan latihan dan pendedahan berhubung aspek pencegahan kebakaran

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.