
Justeru, Pengurus Hubungan Luarnya, Azrul Mohd Khalib tidak bersetuju dengan program itu.
Beliau berkata, menggalakkan keluarga mempunyai lebih ramai anak bukan masalahnya, tetapi menggalakkan rakyat berbuat demikian apabila mereka tidak mampu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan bahaya.
Katanya, insentif tunai RM500 yang diberikan sekali sahaja untuk anak ke-8 dan seterusnya tidak mampu menyelesaikan masalah yang timbul akibat melahirkan anak di luar kemampuan rakyat.
“Bagi kebanyakan kita, khasnya mereka yang berpendapatan sederhana, keputusan untuk mempunyai anak bukan sekadar mahu membawa nyawa baharu ke dunia ini, ia adalah keputusan kewangan besar.
“Hari ini, terlalu ramai anak ketinggalan (berbanding rakan mereka yang lebih kaya) disebabkan keluarga mereka tidak mampu menampung kos membesarkan mereka yang semakin meningkat.”
Azrul berkata, rakyat Malaysia perlu belajar daripada pengalaman pahit negara lain di mana kehamilan tidak terancang dan dasar menggalakkan kelahiran di luar kemampuan seseorang mendatangkan kesan mudarat.
“Dasar sedemikian adalah resipi untuk generasi kemiskinan di mana keluarga itu terpaksa membuat keputusan anak mana yang dibenarkan pergi ke sekolah dan tidak akan mendapat pendidikan. Ini adalah dasar yang mengekalkan kitaran kemiskinan.”
Malah, Azrul berkata, banyak keluarga berpendapatan rendah kini bimbang disebabkan kehamilan tidak terancang.
Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kempen menambah kelahiran sehingga sekurang-kurangnya 25,000 bayi setahun, berbanding jumlah kelahiran sekarang sekitar 19,000 hingga 20,000 bayi.
Untuk itu, kempen sumbangan RM100 bagi setiap kelahiran anak pertama, RM200 anak ke-2 hingga ke-7 dan RM500 bagi kelahiran berikutnya akan diteruskan, di mana sumbangan itu akan disalurkan menerusi skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).