
“Jalan menuju kebebasan adalah panjang,” katanya kepada pemberita sejurus panel 5 hakim sebulat suara menolak permohonan semakan semulanya.
Bekas ketua pembangkang itu mendakwa keputusan itu adalah konspirasi berterusan untuk menafikan keadilan untuk dirinya melalui mahkamah.
“Saya tidak boleh kata saya optimistik dengan keputusan hari ini dan anda boleh lihat daripada tingkah laku saya. Bagaimanapun, tiada siapa di sini yang bercakap tentang keputusan memihak kepada saya.”
Katanya, beliau akan berbincang dengan peguamnya mengenai proses undang-undang dan cara lain daripada segi Perlembagaan untuk mendapatkan kebebasan.
Anwar, 69, memfailkan permohonan semakan semula supaya Mahkamah Persekutuan menggunakan Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan menyemak semula keputusan panel 5 anggota sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Terdahulu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata, tiada penilaian salah bukti, berat sebelah, ketidakadilan prosedur atau pelanggaran keadilan asasi untuk membenarkan permohonan semakan Anwar.
Beliau berkata, tiada bukti menunjukkan ada komunikasi antara Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Mahkamah Persekutuan, sama ada sebelum atau selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menyabitkan Anwar, tahun lalu.
“Afidavit balas Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, pengarah bahagian media di PMO, mengesahkan fakta ini,” katanya.
Zulkefli berkata, tiada apa yang boleh dipercayai kecuali dakwaan Anwar yang kenyataan PMO itu memberi gambaran kepada orang ramai, beliau tidak mendapat perbicaraan adil.
Beliau berkata, hujah Anwar yang Timbalan Pendakwa Raya sementara, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berat sebelah serta terbabit salah laku juga tidak kena pada tempatnya.
Katanya, Shafee dilantik untuk mewakili kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana Anwar mendakwa Jabatan Peguam Negara berat sebelah terhadapnya.
“Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya mendapati Shafee adalah orang yang layak dan sesuai di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan tiada bukti dikemukakan pemohon (Anwar) untuk membuktikan konflik kepentingan,” katanya.
Mahkamah turut menolak hujah peguam Anwar yang Mahkamah Persekutuan bergantung kepada keterangan tidak boleh diterima untuk menyabitkan anak guam mereka.
Zulkefli berkata, pihak pembelaan membangkitkan integriti tempat kejadian dijejaskan pihak pendakwaan kerana tiada permaidani dijumpai dalam unit kondominium terbabit di mana jenayah liwat itu didakwa berlaku.
“Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan isu mengenai cara permaidani dipindahkan ke pangsapuri lain tidak penting kepada kes pendakwaan berdasarkan bukti lain,” katanya.
Mahkamah juga berkata, tidak ada kesilapan mahkamah yang serius apabila pihak pembelaan mendakwa rantaian bukti terputus dan barang kes diusik.
Beliau berkata, ini adalah penemuan fakta oleh mahkamah dan alasan sudah diberikan.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan menyabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
PAUTAN:
Mahkamah Persekutuan tolak cubaan terakhir Anwar untuk bebas