Penerbangan batal, 250 peserta umrah terkandas

Penerbangan batal, 250 peserta umrah terkandas

Penerbangan jemaah umrah dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran mendarat di Arab Saudi

umrah-2
NILAI:
Seramai 250 peserta jemaah umrah terkandas selepas penerbangan Eagle Express dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, dibatalkan.

Jurucakap Eagle Express, Farra Alia berkata penerbangan jemaah umrah itu dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran mendarat di Arab Saudi.

“Kami sekarang ini sedang menunggu persetujuan daripada pihak Arab Saudi. Untuk pergi itu boleh tetapi mendarat belum lagi.

Ada sebab tertentu yang masih belum dimaklumkan kepada pihak kami,” katanya kepada FMT.

Farra berkata Eagle Express akan berusaha memastikan semua peserta jemaah dapat pergi ke Arab Saudi.

“Kita sedang usahakan untuk meneruskan penerbangan jemaah umrah itu esok petang,” katanya.

Farra menambah penerbangan mereka tidak akan dibatalkan, walaupun ditangguhkan.

Sebelum itu jemaah umrah yang terkesan dimaklumkan mengenai pembatalan penerbangan mereka melalui pesanan WhatApps.

Dalam pesanan itu, penumpang diberi pilihan sama ada menunggu penerbangan seterusnya atau menarik diri.

“Sekiranya mahu menarik diri, pihak Eagle Express akan membayar ganti rugi 2 kali ganda tiket penerbangan itu dalam masa sebulan atau 2 bulan,” kata Kamarulzaman Abdul Karim, 26.

Beliau yang bekerja di sektor awam kecewa dengan pembatalan itu.

“Saya kecewa, marah. Alasan yang sama (diberikan pihak Eagle Express). Saya harap pihak berkuasa siasat dan bantu untuk teruskan penerbangan kami,” katanya.

Buat masa ini sebahagian jemaah umrah itu masih menunggu di beberapa hotel di Nilai, Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.