Pakatan Harapan, PPBM tandatangan pakatan pilihan raya

Pakatan Harapan, PPBM tandatangan pakatan pilihan raya

Parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagaimanapun belum menyertai perikatan pembangkang secara rasmi

pakatan-harapan-bersatu-1
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) secara rasmi membentuk satu pakatan pilihan raya bagi memastikan 1 lawan 1 melawan Barisan Nasional.

Pakatan itu dirasmikan dengan menandatangani memorandum persefahaman di satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Bagaimanapun, PPBM belum menyertai Pakatan Harapan secara rasmi.

Ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pakatan pilihan raya antara PH dan PPBM merupakan langkah kerjasama pertama menuju pilihan raya umum.

“Idea gabungan ini cuma keformalan. Acara ini juga suatu keformalan. Kami pernah bekerjasama sebelum ini dan akan terus bekerjasama.

“Banyak perkara yang boleh berlaku mulai sekarang dan semasa pilihan raya nanti. Manusia dan keadaan boleh berubah. Kita tengok apa yang akan berlaku.”

Antara 7 perkara yang disenaraikan dalam perjanjian itu adalah 1 calon mewakili PH dan PPBM dalam pilihan raya akan datang. Calon akan dipilih berdasarkan persetujuan semua parti dalam pakatan itu.

Di bawah persetujuan itu juga, semua parti perlu berbincang bagi memastikan 1 lawan 1 melawan BN dalam pilihan raya.

Mereka juga perlu mewujudkan satu gabungan pembangkang rasmi sebelum pilihan raya umum akan datang supaya mereka boleh membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

Keempat parti dalam gabungan itu turut bersetuju untuk memutuskan 1 logo bersama, 1 manifesto bersama, dan satu rangka kerja bersama untuk pilihan raya umum nanti.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri acara hari ini.

Muhyiddin meminta parti lain dalam gabungan itu supaya membuka laluan kepada PPBM untuk bertanding di kerusi tertentu dalam pilihan raya akan datang.

“Tak munasabah kalau kami tak buat sesuatu untuk kemenangan parti. Kami akan minta untuk bertanding di kawasan yang kamu tahu boleh menang.

“Pada dasarnya kami akan bincang; mampu menang itu penting.

“Kita bersetuju untuk menang pilihan raya.”

Sementara itu, Muhyiddin tidak mengulas panjang mengenai perbincangan antara PPBM dan PAS, hanya menegaskan partinya akan terus mendekati parti Islam itu.

“Kami baru sahaja adakan rundingan pertama dan akan diteruskan sehingga kita mendapat sesuatu yang baik daripadanya.

“Kami baru sahaja adakan mesyuarat pertama jadi berikan peluang. Kami sudah tetapkan garis masa.

“Kami hargai kesudian mereka untuk berbincang dan bercakap dengan kami. Itu menunjukkan ada niat atau minat. Cuma kita tak tahu penghujungnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.