4 syarikat penerbitan mohon maaf, saman fitnah Ramli Yusuff selesai

4 syarikat penerbitan mohon maaf, saman fitnah Ramli Yusuff selesai

Bekas pengarah JSJK Bukit Aman itu berkata laporan mereka menggambarkan beliau sebagai seorang yang mempunyai harta haram dan menyalahguna kuasanya.

ramli-yusuf
KUALA LUMPUR:
Kes saman fitnah yang difailkan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff terhadap 4 syarikat penerbitan akhbar selesai selepas syarikat penerbitan itu mengemukakan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi di sini.

Kenyataan permohonan maaf itu direkodkan dalam kamar di hadapan Hakim Abu Bakar Jais, dengan dihadiri peguam Bhag Singh dan Ammar Ghalip mewakili The Star, manakala peguam Harvinderjit Singh bertindak bagi pihak Ramli.

Empat syarikat penerbitan yang mengemukakan permohonan maaf itu ialah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Star Publication (Malaysia) Bhd, Sabah Publishing House Sdn Bhd dan The Borneo Post.

Mahkamah juga memerintahkan NSTP membayar kos RM120,000 kepada Ramli sebagai penyelesaian penuh dan muktamad terhadap tuntutan plaintif, The Star diperintahkan membayar kos RM60,000 manakala Sabah Publishing House dan The Borneo Post masing-masing diperintahkan membayar kos RM20,000.

Ramli, 64, yang kini seorang peguam, memfailkan saman itu pada 4 Julai 2013 dengan mendakwa kesemua defendan menerbitkan pelbagai laporan berita yang menjejaskan reputasi dan keperibadiannya.

Plaintif mendakwa, laporan tersebut secara langsung dan tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang anggota polis yang mempunyai harta berjumlah RM27 juta secara haram dan menyalahgunakan kuasanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.