
Beraksi di depan kira-kira 1,000 penyokong tempatan, pasukan negara terlebih dahulu di hadapan seawal minit ketiga menerusi kapten pasukan, Rahmatuddin Mohd Huzaizi yang bijak menolak masuk bola selepas sepakan penaltinya sebelum itu ditampan keluar penjaga gol Thailand, Chanachan Sattasuvaja.
Tersentak dengan gol awal itu, Thailand bangkit memburu gol dan hasilnya pada minit ke-19 mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Chirapan Sirithongsawang yang merembat deras menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hariz Nik Hassan.
Kelekaan benteng pertahanan negara membawa padah apabila Chirapan sekali lagi bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan gol kedua Thailand pada minit ke-28 sebelum Danai Mungoomklang menjadikan kedudukan 3-1 menerusi sepakan percuma, seminit sebelum babak pertama tamat.
Babak kedua bersambung menyaksikan Malaysia kembali mengatur serangan menerusi beberapa gerakan menarik namun kekebalan benteng pertahanan serta ketangkasan penjaga gol Thailand memastikan keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.
Jurulatih pasukan negara, Manachai Sitthisarn berkata faktor kecergasan dan kecederaan yang dialami pemain menjadi punca kekalahan pasukan negara, namun percaya kekalahan itu dapat mematangkan anak buahnya.
“Terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan akibat jadual perlawanan yang sangat padat, jadi ini menyukarkan saya untuk menyusun strategi pada perlawanan ini.
“Thailand bermain dengan sangat bagus…mereka mampu berlari sepanjang permainan dan ini menjadi punca pemain kita letih tetapi saya yakin kekalahan ini akan menjadikan mereka lebih matang,” katanya melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan jurubahasa skuad negara, Emmy Hussain.
Edisi pertama Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN itu anjuran Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), melibatkan tujuh pasukan – Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan Malaysia.