Kementerian tarik lesen doktor, klinik terlibat jual bayi

Kementerian tarik lesen doktor, klinik terlibat jual bayi

Kementerian Kesihatan melalui Majlis Perubatan Malaysia akan mengambil tindakan terhadap doktor dan klinik yang terbukti terlibat dalam pemerdagangan bayi.

subramanian
KUCHING:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan menggantung dan menarik balik lesen pengamal perubatan doktor dan klinik yang didapati bersalah terlibat dalam kegiatan pemerdagangan bayi, kata menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kes penahanan 3 inividu termasuk dalang utama, seorang wanita yang dikenali sebagai Bonda selain doktor yang mendalangi kegiatan penjualan bayi di negara ini baru-baru ini.

Menurut Dr Subramaniam, kementeriannya dan polis sedang menyiasat doktor dan pengusaha klinik terbabit.

“Apabila kita mempunyai bukti yang mencukupi barulah kita boleh mengambil tindakan terhadap doktor dan klinik yang terlibat, contohnya tindakan melalui Majlis Perubatan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata, kementeriannya juga boleh mengambil tindakan dengan menggantung atau menarik balik lesen institusi (klinik) yang terlibat.

Polis akan mengambil tindakan mengikut prosedur jenayah kerana tindakan mereka adalah perlakuan jenayah, katanya.

“Kedua-dua proses ini sedang berjalan dan apabila kedua-dua pihak (KKM dan polis) sudah mempunyai bukti yang mencukupi kita akan ambil tindakan,” kata Dr Subramaniam.

Menerusi “Ops Baby” yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman baru-baru ini, 3 klinik, iaitu 2 di Klang dan 1 di Puchong selain 4 premis kedai di Seremban, Klang, Sepang dan Tanjung Sepat, Selangor diserbu berikutan laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai kegiatan penjualan bayi di negara ini.

Polis menahan 3 individu iaitu seorang wanita berumur 38 tahun, seorang doktor berumur 54 tahun dan seorang pekerja klinik, 24.

Pada 24 Nov lalu, Al-Jazeera memaparkan dokumentari berdurasi 25 minit yang mendedahkan aktiviti penjualan bayi bertajuk “Malaysia: Babies For Sale” dan ia disiarkan dalam program 101 East.

Jual bayi: Polis serbu 5 klinik swasta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.