
“OSI (Open Society Institute) mahupun NDI (National Democratic Institute) tidak dilarang membiayai aktiviti di Malaysia,” kata peguam itu kepada wartawan selepas disoal siasat di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, hari ini.
Open Society Foundations (OSF) yang dahulunya dikenali sebagai OSI, diasaskan jutawan, George Soros.
Ambiga yang memimpin Bersih 2.0 selama 3 tahun dari November 2010 sehingga November 2013, disoal siasat selama 90 minit berhubung dana asing yang diterima daripada OSF.
Pada 1 November lalu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengakui gabungan itu pernah menerima sumbangan RM70,000 daripada sebuah yayasan kelolaan Soros antara 2010 dan 2011, tetapi ia hanya merupakan 11% daripada pendapatan mereka ketika itu.
Sejak itu, pihak berkuasa menyoal siasat beberapa aktivis NGO, termasuk 3 ahli jawatankuasa Bersih 2.0 di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan.
Ambiga berkata, dakwaan NGO menerima dana asing terbabit dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan, bukan perkara baharu.
Beliau teringat saman ke atas New Straits Times pada 2012, selepas akhbar itu mendakwa Bersih 2.0 dan beberapa NGO lain menerima RM20 juta untuk menggulingkan kerajaan.
“Semua dokumen berkaitan dana yang diterima Bersih 2.0 difailkan di mahkamah dalam saman itu.
“Dakwaan demi dakwaan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan tidak masuk akal kerana tuntutan utama Bersih sejak penubuhannya ialah pilihan raya bebas dan adil serta institusi yang kuat.”
Beliau bagaimanapun berikrar siasatan ke atas masyarakat sivil oleh pihak berkuasa tidak akan menghalang NGO dan Bersih 2.0 daripada meneruskan usaha mereka.
“Kerja kami akan diteruskan tidak kira apa cabarannya kerana kami tahu sebuah kerajaan yang takut dengan kebenaran akan menekan rakyat memperjuangkan kebenaran. Kami juga tahu kebenaran akan timbul akhirnya.”
Bersih: Sekali terima RM70,000, selepas itu derma orang ramai