Zunar cabar larangan ke luar negara

Zunar cabar larangan ke luar negara

Zunar berkata sekatan ke atasnya merupakan pelanggaran hak perlembagaan oleh Jabatan Imigresen.

zunar
KUALA LUMPUR:
Kartunis Zulkifli SM Anwarul Haque atau Zunar hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencabar sekatan perjalanan ke atasnya oleh Jabatan Imigresen.

Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan itu tidak sah, dan menamakan ketua pengarah Jabatan Imigresen, menteri dalam negeri dan kerajaan sebagai responden terhadap semakan kehakiman itu.

Zunar juga mahu perintah mahkamah mengisytiharkan larangan itu melanggar hak perlembagaannya dan ketiga-tiga responden bertindak di luar batas kuasa mereka dalam mengenakan larangan itu.

Zunar juga mahu mahkamah mengisytiharkan Seksten 59 dan 59A Akta Imigresen sebagai tidak sah kerana tidak memberikan peluang seseorang itu membela diri dalam mahkamah dan mempersoalkan keputusan pihak berkuasa.

Pada 17 Oktober, Zunar mendapati namanya disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen selepas dilarang meninggalkan negara bagi menghadiri sebuah forum di Singapura.

“Alasan yang diberikan ialah pengharaman itu atas arahan ketua polis negara tanpa penjelasan lanjut.”

Zunar berkata disebabkan larangan itu, beliau tidak dapat menghadiri pameran seni di Switzerland dan Australia.

“Penganjur di sana menjemput saya kerana mereka meminati hasil seni saya.

“Pengharaman ini merupakan salah guna kuasa oleh kerajaan dan berniat jahat untuk menyekat kerja seni saya,” kata Zunar yang terkenal dengan kartun politik yang menyindir Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah turut mencabar sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas mereka.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan Pua, dengan menyatakan ketua pengarah Imigresen mempunyai kuasa di bawah Akta Imigresen untuk menyekat perjalanan mana-mana warganegara.

Zunar akan cabar KPN selepas dilarang keluar negara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.