Panglima ATM ke Myanmar baiki hubungan

Panglima ATM ke Myanmar baiki hubungan

Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bertemu presiden Myanmar dan ketua angkatan tenteranya untuk meredakan ketegangan hubungan antara 2 negara, kata laporan akhbar tempatan negara itu.

Myanmar
YANGON: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bertemu Presiden Myanmar U Htin Kyaw dan ketua angkatan tentera Myanmar Min Aung Hlaing di sini, semalam.

Myanmar Times melaporkan, pertemuan itu bagi meredakan hubungan Myanmar-Malaysia susulan kritikan keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap kerajaan Myanmar pada himpunan membela Rohingya di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat ketua angkatan tentera Myanmar, Aung Hlaing memberitahu Zulkifeli yang tiada pelanggaran hak asasi manusia berlaku terhadap masyarakat Muslim Rohingya.

Kenyataan itu berkata pihak berkuasa Myanmar tidak boleh berbohong mengenai perkara itu kerana media tempatan dan antarabangsa memberikan fokus terhadap daerah itu.

Satu lagi kenyataan dikeluarkan pejabat presiden berkata Htin Kyaw turut mengadakan perbincangan dengan Zulkifeli.

Katanya, pejabat presiden menjadikan “berita palsu” sebagai punca ketegangan diplomatik yang berlaku dan kerajaan Myanmar sedang berusaha untuk menyelesaikan isu di daerah Rakhine mengikut undang-undang sedia ada dan standard hak asasi manusia.

Pada perhimpunan yang disertai kira-kira 10,000 di Stadium Titiwangsa pada Ahad, Najib menyelar kerajaan Myanmar kerana layanan buruknya terhadap Muslim Rohingya. Ia kali pertama dalam beberapa tahun terakhir ini, seorang pemimpin negara Asean mengkritik rakan sejawatnya dari negara Asean berhubung perkara dalaman negara berkenaan.

Sementara itu, laporan Myanmar Times turut memetik kenyataan penganalisis berhubung tindakan Najib dan akibatnya terhadap hubungan antara kedua-dua negara itu.

Pakar dalam hal ehwal Asean yang berpangkalan di Bangkok, Kavi Chongkittavorn berkata tindakan Najib ialah cubaan untuk mendapatkan undi daripada rakyat Malaysia beragama Islam.

Katanya, Najib sepatutnya menyuarakan kebimbangannya secara berkesan menerusi cara diplomasi yang lebih tertutup.

Penasihat kepada bekas presiden Myanmar U Thein Sein, U Ko Ko Hlaing dipetik sebagai berkata tindakan Najib menyasarkan untuk memesongkan perhatian rakyat daripada tuduhan rasuah terhadapnya.

Katanya, “campur tangan” seperti itu tidak bagus untuk perpaduan Asean.

Myanmar Times melaporkan kumpulan organisasi Muslim di Myanmar mengeluarkan surat terbuka kepada kerajaan Malaysia berkata mereka tidak bersetuju dengan respons Putrajay.

Dalam surat itu, yang dihantar pada Kedutaan Malaysia semalam, mereka berkata kenyataan dan tindakan Najib itu mendatangkan lebih keburukan berbanding kebaikan terhadap Muslim di Myanmar.

 

Pemimpin Umno, PAS berkongsi pentas bawa isu Rohingya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.