Shafie tubuhkan Warisan kerana kecewa, kata Rahman Dahlan

Shafie tubuhkan Warisan kerana kecewa, kata Rahman Dahlan

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata perdana menteri pernah meminta Shafie dan Muhyiddin meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan.

rahman-dalan_Shafie-Apdal_warisan_600
PETALING JAYA:
Tindakan Datuk Seri Shafie Apdal menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas memutuskan untuk keluar Umno kerana kecewa dan lebih kepada kepentingan peribadi, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata selepas Warisan ditubuhkan di Sabah, sehingga hari ini beliau tidak nampak platform bekas menteri itu.

“Saya tidak nampak satu gerakan di Sabah sebab tidak tahu apa sebenarnya platform Shafie. Yang orang tahu beliau kecewa dan lebih kepada kepentingan peribadi,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Rahman berkata Shafie dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mula mengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak 2014 dan ia bukanlah sebab kedua-dua pemimpin itu dipecat.

“Saya hendak beritahu kalau itulah alasan perdana menteri memecat mereka berdua ini, mereka sepatutnya sudah lama dipecat sebab mengkritik 1MDB sejak 2014.

“Saya ada dalam Kabinet, setiap minggu Najib kata kalau ada masalah dengan 1MDB, boleh tanya tetapi menerusi landasan yang betul iaitu dalam Kabinet atau MKT Umno.

“Tetapi bukan dibuat di luar sana kerana mereka berdua menteri,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Beliau berkata Najib pernah meminta mereka untuk meletakkan jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan tetapi Shafie dan Muhyiddin enggan berbuat demikian.

“Ini orang ramai tidak tahu yang Datuk Seri Najib bukan pecat, meminta mereka letak jawatan kalau tidak setuju dengan kerajaan.

“Tetapi mengapa Muhyiddin dan Shafie tidak mengambil langkah yang lebih terhormat itu iaitu letak jawatan.

“Mereka tidak mahu letak jawatan. Apabila tidak buat demikian walaupun dipelawa untuk letak jawatan secara terhormat, maka perdana menteri tiada pilihan selain memecat mereka,” katanya.

Warisan ditubuhkan pada 17 Oktober 2016 selepas menggantikan nama Parti Pembangunan Warisan Sabah yang ditubuhkan sejak 2013.

Kelulusan nama dan logo baharu parti yang diambil alih pada 22 September diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 13 Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.