Sultan Johor: Hormat tempat ibadat, agama lain

Sultan Johor: Hormat tempat ibadat, agama lain

Sultan Ibrahim mengingatkan umat Islam di Johor untuk menjaga toleransi agama dan menghormati kaum lain.

sultan-johor
PETALING JAYA:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan umat Islam di negeri itu bertoleransi dan menghormati rumah ibadat serta agama lain.

“Sebagai umat Islam, tanya kepada diri sendiri, apakah perasaan kita apabila masjid dirosakkan?” soal baginda sebagai mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Ipoh membebaskan seorang siswazah perubatan tidak waras daripada jenayah merosakkan patung di sebuah kuil Hindu di Ipoh.

Sultan Ibrahim bertitah Islam sebagai agama universal mengingatkan penganutnya semua manusia adalah ciptaan Allah yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat, ayat 13).

“Oleh itu, kita harus sentiasa menerima orang yang beragama lain. Marilah kita sentiasa mengingatkan diri tentang perkara ini untuk mendapatkan kehidupan yang aman dan harmoni dengan semangat ‘Muafakat Johor’,” titah baginda menerusi Facebook, semalam.

Sebelum ini, Fathi Munzir Nadzri, 29, dibebaskan daripada tuduhan merosakkan patung di Kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil, pada April lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ikmal Hishan Mohd Tajuddin dalam penghakimannya berkata, ia jelas membuktikan Fathi melakukan kesalahan itu, tetapi ahli psikiatri mengesahkan tertuduh mengalami “Gangguan Afektif Bipolar dengan Fasa Manik Gejala Psikotik”.

Mahkamah turut melepas dan membebaskan Fathi atas tuduhan memiliki parang pada tarikh dan tempat sama.

Siswazah perubatan rosakkan patung kuil layak dibicara

Lelaki rosakkan patung suci Hindu didakwa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.