Shell sahkan tumpahan minyak di Port Dickson

Shell sahkan tumpahan minyak di Port Dickson

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengerakkan bot dan boom penyerap untuk menjalankan kerja pembersihan dan mengelak tumpahan merebak.

shell
SEREMBAN:
Shell Refining Company Port Dickson (SRC) mengesahkan bahawa tumpahan minyak yang ditemui berhampiran jeti SRC di Batu 1, Jalan Pantai Port Dickson, di sini pada 6.30 petang semalam adalah dari tambatan boya tunggal (SBM).

SRC dalam kenyataan di sini hari ini berkata SRC segera mengaktifkan dan menggerakkan Pasukan Tindak Balas ke kawasan tersebut untuk menyiasat tumpahan minyak dan mengawal situasi.

“Punca tumpahan dikenal pasti dari SBM dan pasukan itu telah berjaya mengasingkan punca tumpahan dan menghentikan sebarang tumpahan selanjutnya daripada mencemari persekitaran. SRC kini tertumpu kepada usaha mengurangkan impak kepada alam sekitar dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan.

Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan keselamatan masyarakat menjadi keutamaan kami. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Alam Sekitar bagi kerja-kerja pembersihan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, beberapa kakitangan juga dikerah untuk menangani situasi termasuk memantau kawasan pantai Port Dickson.

“Kami mempunyai bot Jabatan Bomba dan Penyelamat dan bot tunda di kawasan itu untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan menggunakan boom penyerap. Kumpulan Bantuan Bersama Industri Petroleum Malaysia (PIMMAG) Port Dickson sedang bekerjasama rapat dengan SRC,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohd Kamil Abd Jabbar berkata tumpahan minyak sejauh 1 batu nautika dan kerja-kerja bagi mengelakkan tumpahan merebak sedang dilakukan.

“Kerja-kerja pemasangan Solven seberat 280kg akan dilakukan bagi mengelakkan ia merebak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.