Bekas ketua JSJ Kuala Lumpur diarah bela diri gagal isytihar harta

Bekas ketua JSJ Kuala Lumpur diarah bela diri gagal isytihar harta

Hakim memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ku dan menetapkan 6 Feb tahun depan untuk membela diri.

Ku-Chin-Wah
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja gagal mengisytiharkan perolehan harta, 3 tahun lepas.

Hakim Sohaini Alias yang membuat keputusan di akhir kes pendakwaan itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ku dan menetapkan 6 Feb tahun depan untuk Ku membela diri.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 7 saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula pada 4 Mei dan berakhir 3 Ogos lepas serta hujahan pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu hakim membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed untuk meminda pertuduhan dengan memasukkan perkataan “dengan sengaja” sebelum ayat “… telah gagal mematuhi terma…”.

Mengikut pertuduhan itu, Ku, 58, didakwa dengan sengaja gagal mematuhi terma notis pendakwa raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Dis 2013, di mana beliau gagal mengisytiharkan segala punca perolehan dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Jan 2014.

Ku didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Jan 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ku diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

PAUTAN:

Ku Chin Wah declared assets 22 times during service

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.