
Idris mengulas ucapan Ketua Puteri Umno Jerantut, Norsarfinaz Mohd Azman yang secara terbuka menyelar pemimpin yang cuba memperbodohkan rakyat.
“Kita dengar suara mereka. Ia cadangan yang baik dan laporan akan dibuat untuk diketengahkan,” katanya dipetik Bernama, tanpa menjelaskan lanjut.
Norsarfinaz pada Perhimpunan Agung Umno semalam berkata pemimpin kerajaan perlu berhenti memandang rendah kebijaksanaan golongan belia hari ini.
“Kami semua intelek tinggi. Jangan tipu kami. Kalau ekonomi tak bagus, cakap tak bagus. Jangan cakap ekonomi masih okay tapi kami nampak kawan-kawan diberhentikan kerja dan harga barang rumah naik,” katanya pada sesi yang turut dihadiri pemangku timbalan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Norsarfinaz turut menyentuh soal pencemaran alam dan penebangan hutan yang menurutnya memberi kesan terhadap pelancongan di negeri Pahang, yang baru-baru ini dilanda masalah pencemaran bauksit.
“Tetapi jika kami pergi sana, pastikan hutan tak ditebang. Masalah bauksit diselesaikan, jadi tidaklah ia tebal macam foundation (mekap) kami.
“Dan sungai janganlah nampak macam teh tarik,” katanya, selang sehari selepas pendedahan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengenai pencerobohan beribu-ribu hektar hutan simpan di Pahang.
Idris yang juga menteri pendidikan tinggi bagaimanapun berkata wakil Puteri memberikan keutamaan kepada parti dan bukan pemimpin.
“Semangat Puteri sangat bagus dan ke arah menghadapi pilihan raya…Puteri juga dilihat sangat matang, ada yang tidak memilih pemimpin tetapi parti,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi ahli MT, Datuk Mustapa Mohamed melahirkan rasa bangga dengan sayap parti tersebut.
“Puteri kini hampir sebaris dengan kewibaan yang ditunjukkan oleh Wanita dan Pemuda. Semasa mereka membentangkan usul, mereka ada meminta agar pimpinan Puteri dan pemimpin atasan turun padang bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dipetik Bernama.