
Dalam mendesak masyarakat supaya lebih menerima, pengasas Kami Sanggup Ambil Anak Angkat (KSAAA) Hamidah (bukan nama sebenar) berkata stigma masyarakat terhadap ibu melahirkan anak luar nikah dan bayi itu merosakkan wanita terbabit.
Katanya, stigma itu boleh mendorong kepada perbuatan pembuangan bayi atau ibu dan anaknya terpaksa berdepan kehidupan sukar tanpa sokongan rakan dan keluarga.
“Bila seorang gadis mengandung, orang label dia ‘kotor’, dan bayinya dikatakan ‘nakal’ sebab emaknya dan akhirnya kedua-dua ibu dan anak dipulaukan,” katanya, menambah keadaan itu sering terjadi dalam masyarakat Melayu Muslim.
Beliau berkata bayi itu yang kemudian dijadikan anak angkat turut menerima tekanan daripada masyarakat, tetapi keadaan lebih baik kini apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan anak angkat Muslim menggunakan nama selain Abdullah untuk bin atau binti.
Katanya, sebelum ini “bin atau binti Abdullah” sering digunakan dalam masyarakat Melayu untuk anak angkat, dan itu caranya orang tahu sama ada seseorang itu anak angkat atau tidak.
Dengan peraturan baharu JPN itu, katanya lebih sukar masyarakat untuk mengetahui sama ada seseorang itu anak angkat atau tidak.
Hamidah berkata KSAAA pernah membantu seorang ibu yang masih remaja menjalani pemeriksaan doktor sepanjang kehamilannya kerana keluarga, rakan dan bapa kepada bayi itu membuangnya.
“Gadis itu telefon saya jam 4 pagi beritahu dia ditinggalkan bapa kepada bayinya di stesen bas. Cepat-cepat saya pergi ambil dia.
“Gadis itu beritahu dia rasa dia hamil 6 bulan tetapi tak pasti kerana tidak pernah pergi pemeriksaan doktor. Pada jam 1 petang hari yang sama dia melahirkan anaknya. Sebenarnya dia sudah 9 bulan hamil,” katanya.
Katanya, itulah sebabnya masyarakat terutama keluarga wanita hamil itu perlu menerima hakikat yang semua orang pernah buat salah dan beri sokongan kepada mereka dalam keadaan sukar itu.
“Islam itu indah. Tidak Islamik untuk memulaukan seseorang. Dalam Islam, anak luar nikah atau anak angkat dianggap sebagai anak yatim dan kita perlu jaga mereka.
“Sedangkan setiap kali Ramadan, kita bagi banyak sedekah untuk anak yatim buka puasa di hotel, tetapi dalam kes anak yatim lain (anak luar nikah), kita pulaukan mereka.
“Tidak masuk akal langsung,” katanya.
Beliau mendesak masyarakat untuk tidak menghakimi mereka yang pernah melakukan kesalahan kerana ia boleh berlaku kepada anak dan cucu sesiapa pun.
Mereka yang mahu mendapatkan anak angkat atau ingin menyerahkan anak boleh menghubung KSAAA untuk mendapatkan bantuan.
Kumpulan NGO itu sejak ditubuhkan 4 tahun lalu, sudah membantu lebih 40 bayi, yang sama ada dijadikan anak angkat atau kekal bersama ibu bapa kandung.
Awal tahun ini, dilaporkan menurut statistik polis kira-kira 100 bayi dibuang setiap tahun, dengan lebih separuh daripadanya ditemui mati.