
Ketua Polis Pulau Pinang Abdul Gaffar Rajab berkata klip video berdurasi 5 minit itu hanya menunjukkan persepsi peribadi Namewee terhadap keadaan dalam sel polis.
Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu sama ada tindakan akan diambil terhadap Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee susulan penyiaran video yang kini ditonton 300,000 kali sejak dimuat naik Jumaat lalu.
“Itu hanya versi pengalaman dia,” katanya dipetik daripada New Straits Times.
Dalam klip video terbarunya itu, Namewee memperincikan pengalamannya dalam lokap, sambil menyelitkan rap Mandarin.
Antaranya, beliau mendakwa dipaksa berbogel.
“Balik dari perbicaraan kena berbogel lalu mencangkung. Seperti anjing langsung tak ada maruah di sin,” kata Namewee.
Namewee, 33, ditahan sejurus tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Taiwan pada 21 Ogos, sebelum dibawa ke Pulau Pinang. Ia susulan beberapa laporan polis menuduhnya menghina Islam dalam klip video berjudul “Oh My God”.
Klip video itu memaparkan 4 lelaki mewakili agama utama di Malaysia, yang menyanyi dalam bahasa Mandarin berlatar belakangkan rumah ibadat termasuk sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Ia mengundang kecaman beberapa pihak yang menuduh Namewee tidak menghormati Islam, tuduhan yang dinafikan penyanyi yang kerap memuat naik pelbagai klip kreatif di YouTube.