
“I masuk lokap, kena tahan, I kena reman sampai 5 malam.
“Masuk lokap, kena tangkap, bukanlah salah tapi salah faham,” antara seni kata lagu yang sudah ditontoni hampir 300,000 kali di YouTube dalam tempoh 3 hari.
Video tersebut kini pada kedudukan ke-10 dalam senarai 10 video paling popular YouTube Malaysia.
Namewee, 33, ditahan sejurus tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Taiwan pada 21 Ogos, sebelum dibawa ke Pulau Pinang. Ia susulan beberapa laporan polis menuduhnya menghina Islam dalam klip video berjudul “Oh My God”.
Klip video itu memaparkan 4 lelaki mewakili agama utama di Malaysia, yang menyanyi dalam bahasa Mandarin berlatar belakangkan rumah ibadat termasuk sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Ia mengundang kecaman beberapa pihak yang menuduh Namewee tidak menghormati Islam, tuduhan yang dinafikan penyanyi yang kerap memuat naik pelbagai klip kreatif di YouTube.
Selepas 4 hari direman di lokap polis di Bayan Baru, Namewee mengadu keadaan teruk dalam lokap, antaranya mendakwa ditempatkan bersama 15 tahanan Myanmar. Menurutnya, ada di kalangan tahanan asing yang mungkin mati sekiranya tidak diberikan rawatan.
Dalam klip video terbarunya, Namewee memperincikan pengalamannya dalam lokap, sambil menyelitkan rap Mandarin.
Antaranya, beliau mendakwa dipaksa berbogel.
“Balik dari perbicaraan kena berbogel lalu mencangkung. Seperti anjing langsung tak ada maruah di sin,” kata Namewee.
Polis sebelum ini menafikan dakwaan Namewee mengenai keadaan dalam lokap dan berkata Namewee dilayan baik.