
Kumpulan Kami Sanggup Ambil Anak Angkat (KSAAA) yang menangani gejala buang bayi dan jual bayi berkata apa yang menjadi masalah ialah permintaan di kalangan pasangan dan bilangan anak angkat yang dibenarkan oleh undang-undang.
Menurutnya pengasas KSAAA yang hanya mahu dikenali sebagai Hamidah, terdapat lebih ramai bayi yang dilahirkan kepada ibu beragama Islam, tetapi mereka tidak dibenarkan dijadikan anak angkat pasangan bukan Islam.
“Menurut undang-undang, bayi yang dilahirkan oleh ibu beragama Islam tidak boleh dijaga bukan Islam, tetapi jumlah bayi bukan Islam untuk dijadikan anak angkat lebih kecil,” katanya kepada FMT.
“Jadi untuk pasangan bukan Islam, ia mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan anak angkat.”
Baru-baru ini, program hal ehwal semasa “101 East” terbitan Al Jazeera mendedahkan beberapa sindiket jual bayi di Malaysia yang beroperasi di luar proses undang-undang.
Antara alasan yang dikemukakan pasangan yang membeli bayi daripada sindiket sedemikian ialah kerana proses yang sah mengambil masa panjang dan rumit.
Bagaimanapun, Hamidah berkata proses mengambil anak angkat bukanlah sesuatu yang sukar, sebaliknya amalan jual-beli bayi disebabkan sikap malas dan tidak sabar di kalangan mereka yang mahu mengambil anak angkat.
“Sekiranya mereka betul-betul prihatin terhadap kanak-kanak itu, mereka akan melalui proses itu yang berpandukan undang-undang untuk melindungi bayi terbabit,” katanya.
Beliau menjelaskan terdapat 2 jenis pengambilan anak angkat di Malaysia, iaitu kaedah secara langsung, dan melalui Jabatan Kebajikan (JKM).
Di bawah kaedah secara langsung, pasangan boleh menghubungi ibu kandung yang bakal melahirkan anaknya. Kedua-dua pihak dikehendaki menandatangani akuan bersumpah yang memperincikan syarat pengambilan anak angkat.
Berbeza daripada proses tidak sah, nama ibu kandung disertakan dalam surat beranak dan bukan nama ibu angkat.
“Kalau dilakukan secara tidak sah, nama ibu angkat ditulis sebagai ibu kandung,” kata Hamidah, yang menambah kedua-dua pihak juga perlu melalui beberapa jabatan termasuk polis, Jabatan Pendaftaran dan JKM.
Bakal ibu bapa angkat kemudian perlu menghadiri sesi temuramah dengan JKM, di samping lawatan mengejut sekali setiap 3 bulan bagi memastikan kebajikan anak angkat terjaga.
Selepas 2 tahun, ibu bapa angkat akan diberikan Sijil Anak Angkat, yang membolehkan kanak-kanak itu membuka akaun bank dan memiliki pasport sendiri.
Ini disusuli dengan sebuah lagi akuan bersumpah yang ditandatangani kedua-dua ibu bapa kandung dan angkat di JPN, sebagai mengesahkan akuan pertama.
Hamidah menasihati mereka yang ingin mengambil anak angkat supaya bersabar dan melalui proses panjang demi memastikan kebajikan kanak-kanak.
“Jangan jadikan bayi umpama komoditi yang boleh dijual beli. Sekiranya anda berpandangan bayi boleh dibeli, anda tidak memenuhi syarat sebagai ibu bapa,” katanya.
Di sebalik sindiket jual anak, sukarelawan bantu selamatkan bayi terbuang