
“Dulu saya juga beri pandangan secara antagonistik dan saya membayarnya dengan harga yang mahal,” kata Zahid, bekas ketua Pemuda Umno yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998 susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib presiden Umno itu berkata beliau masih memegang prinsip sama.
“Semakin berusia, kita menjadi semakin matang. Bukan bersikap kebudak-budakan dengan turun demonstrasi bersama-sama pihak yang dahulunya menentang demonstrasi,” katanya dipercayai merujuk beberapa bekas pemimpin Umno yang menyertai perhimpunan Bersih 5, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sambil tersenyum, Zahid bagaimanapun pantas berkata tidak merujuk mana-mana pihak.
Zahid merupakan antara ahli politik Umno yang menjadi sebahagian daripada “kem Anwar”, dan dikatakan merancang menyerang presiden Umno, Dr Mahathir, pada Perhimpunan Agong 1997.
Zahid kekal menjadi ahli Umno selepas dibebaskan daripada ISA, dan pada 2000 menang kerusi Ahli Majlis Tertinggi sebelum dilantik menjadi timbalan menteri pelancongan selepas pilihan raya umum 2004 yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Zahid menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, selepas rombakan kabinet Julai tahun lalu.
Zahid memberitahu FMT, kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima perbezaan pandangan tetapi mengingatkan ia perlu dibuat dengan “adab”.
“Perbezaan pendapat bukan sahaja diizinkan tetapi dirai, tetapi ada kaedah ‘adabul ikhtilaf’ (adab dalam tidak bersetuju) yang harus dilaksanakan.
“Mereka yang meninggalkan parti ada agenda dan motif politik sendiri. Mereka yang berpaling tadah ini tidaklah ramai berbanding mereka yang menyertai Umno,” katanya.