
Setiausaha agung PAS itu berkata sehubungan itu ahli Parlimen bukan Islam juga patut mengambil pendekatan sama dengan menjauhi cubaan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.
“Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini berkaitan dengan hak orang Islam.
“Ia juga memberi kesan kepada bukan Islam dan kami menghormatinya. Jadi kita semua kena berlaku adil.
“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” katanya.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Akta membaharui undang-undang yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said itu memasukkan Seksyen 88A yang dengan jelas menyatakan “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk pertukaran agama anak mereka kepada Islam.
Kadir yang menyokong RUU dibawa Hadi itu berkata beliau bertemu dengan beberapa pemimpin BN termasuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong untuk menjelaskan mengenai RUU itu.
Katanya, mereka nampaknya lebih dapat menerimanya ketika dimaklumkan RUU itu akan hanya meningkatkan kuasa mahkamah syariah tetapi tidak sehingga dapat melaksanakan hukuman hudud.
“Mereka boleh ubah pendirian sebaik saja mereka faham niat kami. Lebih pun, kami ada 3 bulan lagi untuk menjelaskan perkara itu kepada masyarakat umum.
“Bila sampai masanya nanti, saya pasti MCA, Gerakan, MIC dan parti pembangkang juga akan sokong RUU ini.
“Tetapi ada pihak memilih untuk memainkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik sendiri,” katanya.
RUU Hadi dipinda pada Khamis lalu untuk menangani kebimbangan yang ia akan membuka laluan kepada parti Islam itu melaksanakan undang-undang hudud satu hari ini.
Cadangan bidang kuasa hukuman itu kini maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Pada masa ini, hukuman syariah hanya mengenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan.