Zahid: Bank wajib sedia pengawal di mesin ATM, CDM

Zahid: Bank wajib sedia pengawal di mesin ATM, CDM

Timbalan perdana menteri berkata ia susulan peningkatan kes samun pelanggan yang mengeluarkan wang daripada mesin ATM dan CDM.

zahid-hamidi-atm
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan meminta Bank Negara mengarahkan semua bank yang mempunyai mesin pengeluaran automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) supaya menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan 24 jam di premis berkenaan.

Timbalan perdana menteri berkata langkah itu susulan peningkatan kes samun pelanggan yang mengeluarkan wang daripada mesin ATM dan CDM serta penggunaan bahan letupan untuk memecah atau melarikan mesin tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Industri Kawalan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat, Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) Datuk Seri Mustapa Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Mustafa Ibrahim.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata mulai tahun depan semua pengawal keselamatan peribadi atau “bodyguard” wajib menjalani latihan khas dan ditauliahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, latihan itu diwujudkan bagi meningkatkan lagi kawal selia dan kualiti pengawal keselamatan peribadi di negara ini.

Latihan itu juga akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen membawa dan menggunakan senjata api bagi pengawal keselamatan peribadi pada setiap tahun, katanya.

“Langkah ini perlu diadakan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi,” katanya.

Zahid berkata pihaknya bercadang membuka peluang kepada warganegara negara lain untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mengatasi kekurangan pengawal keselamatan dari Nepal.

Katanya, perkara tersebut akan diumumkan secara rasmi setelah menteri dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pekerja Asing bersidang nanti.

Sehingga kini, katanya seramai 3,312 pengawal keselamatan Nepal berjaya dilatih menerusi program latihan “Trained Nepalese Guard” (TNG) yang bermula Mei lepas.

Selain itu, katanya Kursus Latihan Asas Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) pada tahun ini melatih 17,153 pengawal keselamatan.

Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan pengawal keselamatan yang menerima latihan CSG sebanyak 44,566 orang sejak diperkenalkan pada 2014, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.